KerohanianSemasa

JAIM siasat ritual `ibu Yati’

Pulau Besar dipantau sebarang aktiviti menyalahi agama

MELAKA :: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyiasat klip video ritual dilakukan kumpulan tertentu dipercayai di Pulau Besar, Umbai, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat berkata, setakat ini pemantauan pegawai penguat kuasa JAIM di pulau berkenaan belum terjumpa kumpulan terbabit.

Katanya, kemungkinan besar kumpulan berkenaan hadir di Pulau Besar pada waktu tertentu semata-mata untuk menjalankan ritual itu.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehadiran kumpulan berkenaan yang menjalankan ritual mencurigakan supaya segera melaporkannya kepada JAIM.

“Kerjasama itu amat penting kerana pegawai penguat kuasa JAIM tidak boleh sentiasa berada di pulau itu,” katanya ketika dihubungi @harianmetro hari ini.

Sebelum ini tular klip video berdurasi lapan minit di Facebook dan kumpulan WhatsApp memaparkan individu melakukan upacara paluan gong yang dipercayai ritual ajaran tertentu di pulau yang didakwa Pulau Besar.

Susulan itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan dilaporkan media menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dikatakan dibawa seorang individu.

Beliau dilaporkan berkata, agama yang dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ itu menolak ajaran Islam yang dianggap oleh kumpulan terbabit sebagai Islam Arab.

Bagaimanapun, individu terbabit dilaporkan membuat laporan polis dan menafikan kenyataan Nasrudin selain memberi tempoh tujuh hari kepada YADIM untuk membuat memohon maaf secara terbuka kepadanya.

Pulau Besar yang boleh dikunjungi dengan menaiki bot dari beberapa jeti di Pernu dan Umbai, beberapa tahun lalu dilaporkan menjadi lokasi orang ramai membayar nazar, termasuk melakukan aktiviti pemujaan yang melanggar akidah Islam.

Satu daripada lokasi popular ialah Makam Tujuh Beradik yang dikatakan keramat hingga mendorong pihak tertentu bertapa di pulau itu.

Bagaimanapun, usaha berterusan JAIM mencegah aktiviti seumpama itu memperlihatkan kejayaan apabila aktiviti berkenaan semakin kurang sejak beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook, Ibu Yati semalam memberi tempoh tujuh hari untuk Yang Dipertua YADIM, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada beliau.

Ia berhubung kenyataan yang mendakwa Ibu Yati membawa ajaran agama baru iaitu Agama Melayu.

Ibu Yati atau nama penuhnya, Wan Noor Hayati Wan Alias berkata, kenyataan tersebut yang disiarkan dalam Facebook pada Jumaat telah menimbulkan kebencian awam serta menjatuhkan reputasinya sebagai Tokoh Wartawan Rakyat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button