Covid19PendidikanSemasa

IPT digesa hubungi MAIWP berhubung penangguhan pendaftaran kampus

Pelajar terkesan boleh mohon Bantuan Zakat Kecemasan

KUALA LUMPUR : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Wilayah Persekutuan yang terkesan susulan penangguhan pendaftaran kemasukan ke kampus bulan ini.

Bagaimanapun MAIWP melalui kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporatnya, berkata IPT diminta menghubungi MAIWP bagi memudahkan pelaksanaan penyelarasan penyaluran bantuan kepada penuntut yang memerlukan ekoran penangguhan itu.
 
Katanya, penuntut yang memerlukan bantuan juga diminta menghubungi MAIWP bagi memohon Bantuan Zakat Kecemasan.

“Mereka boleh menghubungi Baitulmal MAIWP di talian hotline 012-5183614/ 012-5127614.”

“Selain itu, aplikasi Mobile Jejak Asnaf juga boleh digunakan bagi melaporkan pelajar yang memerlukan. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store,” mengikut kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama bagi kemasukan ke kampus bulan ini.

Pada masa sama, UKK MAIWP menjelaskan pihak majlis agama Islam itu masih meneruskan bantuan kecemasan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik melalui program Musa’adah COVID-19 yang diperkenalkan sebelum ini.

Katanya, malah MAIWP dan syarikat subsidiari melalui inisiatif dipelopori Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui program itu berjaya menyalurkan bantuan keseluruhan berjumlah RM71.5 juta termasuk bantuan kepada penuntut IPT sehingga kini.

“Peningkatan kes COVID-19 menyebabkan timbulnya perkara di luar jangkaan dalam usaha untuk membendung penularan pandemik.

“MAIWP prihatin dengan situasi yang berlaku dan bersedia membantu penuntut IPT di Wilayah Persekutuan yang terkandas dan memerlukan bantuan.

“Sehubungan itu, MAIWP masih meneruskan bantuan kecemasan kepada semua yang terjejas akibat COVID-19 dan sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya.

Katanya, sebelum ini antara bantuan yang disalurkan kepada penuntut IPT di Wilayah Persekutuan adalah penyaluran bantuan makanan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, katanya MAIWP juga bekerjasama dengan KPT untuk membantu penuntut terkandas termasuk dari Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS pulang ke kampung halaman dengan menyediakan perkhidmatan bas baru-baru ini.-UKK MAIWP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button