KemanusiaanSemasa

Ibu terlantar sakit barah otak, saksi Surya ditetak penyamun!

Tangan kiri putus

KUALA BERANG : Kisah menyayat hati bagi seorang ibu yang terlantar menghidap barah otak.

Dia menyaksikan sendiri anak perempuannya ditetak dipercayai penyamun yang memasuki rumah mereka di Lubuk Batu, Terlemong  pada kira-kira jam 9:30 pagi tadi.

Mangsa Siti Nur Surya Ismail, 19 tahun, ditemukan dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh adik perempuannya yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah pada kira-kira 2.30 petang.

Surya sepatutnya mengambil adik pulang dari sekolah, bagaimana sehingga petang menunggu, adiknya pulang ke rumah berjalan kaki.

Sampai di rumah dia mendapati kakaknya terbujur kaku dan berlumuran darah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3:00 petang sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Polis menemui mayat dengan tangan kirinya putus dan terdapat kesan tetakan pada badan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian mungkin berlaku pada kira-kira 9:00 pagi dan dipercayai mangsa dirompak berikutan sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan dan dua telefon bimbit mangsa lesap.” – Ketua JSJ Negeri / ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar 
“Melihat kecederaan yang terdapat pada bahagian badan mangsa, dipercayai mangsa telah ditetak menggunakan senjata tajam, bagaimanapun pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan,”
ACP Mohd Marzhuki yang ditemui media di lokasi kejadian berkata, jenayah itu mungkin dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa namun motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata ketika kejadian beliau tiada di rumah dan Siti Nur Surya sedang menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat menghidap kanser otak.

Beliau hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu apabila dihubungi adik bongsu mangsa.

“Selalunya Siti Nur Surya yang akan menjemput adiknya pulang dari sekolah tetapi hari ini, beliau tidak datang dan tidak menjawab panggilan telefon sehingga anak bongsu saya terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.” – bapa

Ibu mangsa yang berusia 55 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button