Semasa

Ibadah korban di Wilayah Persekutuan dibenarkan tetapi, bersyarat!

Sembelih, lapah, bungkus daging hanya di rumah sembelihan JPV

KUALA LUMPUR : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberi kebenaran kepada setiap masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata ia susulan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan ibadah korban di Wilayah Persekutuan bagi tahun ini.

Bagaimanapun semua urusan penyembelihan, melapah dan pembungkusan daging korban hanya dibenarkan dilakukan di Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengikut penyelarasan pihak JAWI sahaja.

Tambah beliau, orang ramai perlu mengelakkan kawasan sesak, sempit dan sembang dekat.

Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah;

  • kaunter saringan suhu badan di pintu masuk
  • sanitasi tangan
  • rekod kehadiran
  • petugas dan hadirin tidak bergejala
  • tidak dibenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun
  • petugas dan hadirin perlu daftar MySejahtera atau rekod pada buku
  • penjarakan sosial 1 meter
  • perlu memakai penutup muka dan sarung tangan
  • digalakkan menggunakan sistem sangkar sembelihan

“Pengagihan dibuat secara terus kepada peserta, fakir miskin berdasarkan senarai nama yang ditetapkan petugas barisan hadapan dan golongan sasaran,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu pelaksanaan ibadah korban di kawasan lapang, selain masjid dan surau di Wilayah Persekutuan juga dibenarkan dengan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), JPV, JAWI dan pejabat kesihatan daerah (PKD).

Menurut JAWI lagi sembelihan korban tidak melebihi lima ekor sehari dan bilangan kehadiran termasuk petugas mestilah tidak melebihi 12 orang.

Bagaimanapun jelas JAWI, semua kebenaran itu mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan kemashlahatan semua pihak agar sentiasa terpelihara. Sumber – Astro Awani

Oleh : NurFaisal Hakim  – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button