Covid19Semasa

Ibadah korban di Negeri Sembilan ditangguhkan – Jabatan Mufti Negeri Sembilan

demi keselamatan umat Islam

SEREMBAN : Ibadah korban sempena Aidiladha di seluruh Negeri Sembilan pada tahun ini akan ditangguhkan susulan data menunjukkan penyebaran virus Covid-19 di negeri itu amat tinggi.

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan memberitahu keputusan ini diambil atas syor dan nasihat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sembilan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sepertimana yang sedia maklum, penularan Covid-19 semakin meruncing di Negeri Sembilan. Perbuatan berkumpul beramai-ramai boleh menyebabkan penularan virus ini dengan lebih pantas

“Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan sehingga 8 Julai 2021, secara kumulatif terdapat 50,130 kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan dan 456 orang yang telah meninggal dunia kerana jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan keadaan itu, setelah dipersembahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, perkara itu juga turut dikemukakan kepada Datuk Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Dalam pada itu, solat sunat Aidiladha hanya melibatkan 12 orang terdiri daripada pegawai dan jawatankuasa masjid atau surau seperti mana yang sedang dilaksanakan sekarang.

Bagi lokaliti yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan untuk mengerjakan solat sunat Aidiladha.

“Allah SWT melarang apa jua perbuatan yang boleh menyebabkan diri seseorang terdedah kepada risiko kehilangan nyawa secara sia-sia.

“Selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan untuk menjaga nyawa, maka wajib dihilangkan kemudaratan terbabit.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama memberi kerjasama dalam usaha Kerajaan Negeri dalam menangani penularan pandemik ini demi menjaga keselamatan bersama,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan juga mengesan 13 kes yang dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC), terdiri daripada 7 kes Varian Beta dan 6 kes Varian Delta.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

Related Articles

Back to top button