Semasa

Hentikan amalan khurafat di Gunung Jerai – Idris

YAN – Umat Islam yang sebelum ini menjalankan aktiviti pemujaan ataupun khurafat di Gunung Jerai digesa menghentikan amalan tersebut kerana bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, amalan yang boleh merosakkan akidah itu juga turut mengundang bala sehingga memberikan kesan kepada semua pihak.

Menurutnya, beliau yakin guru agama dan alim ulama di Kedah telah dan sedang memainkan peranan untuk menghilangkan unsur-unsur khurafat berkenaan.

“Kita harap benda ini (amalan khurafat dan pemujaan) akan dihentikan. Apabila datangnya bala Allah S.W.T, bukan sahaja kena pada orang itu sahaja tetapi juga kepada semua yang lain.

“Sahabat bertanya kepada Rasullulah SAW, apakah kami orang baik juga akan kena apabila datang bala, Nabi kata ya. Esok mereka akan dibangkitkan berdasarkan niat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung dakwaan wujudnya aktiviti bertapa, memuja nombor ekor dan mandi bunga di Puncak Gunung Jerai sebelum ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, pihaknya juga yakin Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Pejabat Agama Daerah Yan telah melakukan pemantauan dan penguatkuasaan untuk menghalang amalan itu daripada terus berleluasa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, perancangan dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi pertambahan bilangan jemaah di masjid sedang dibuat susulan tular sebuah video dakwaan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat.

-SINAR HARIAN

Related Articles

Back to top button