Covid19KepenggunaanSemasa

Harga Topeng Muka Ditetapkan Pada RM1.50 – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Tindakan tegas untuk peniaga yang menjual pada harga berlebihan

PUTRAJAYA : Kerajaan mengumumkan harga siling bagi topeng muka pada kadar RM1.50.

“Mesyuarat bersetuju harga siling topeng muka adalah RM1.50. iaitu 50 sen lebih murah daripada yang ditetapkan lebih awal iaitu RM2.00. Kita akan terus kaji dari semasa ke semasa. Jika harga yang dibeli lebih murah, kita akan kaji harga dan umum harga baru,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun, kerajaan akan mengkaji semula dari semasa ke semasa harga siling berkenaan. Mana-mana peniaga yang didapati tidak mengikut harga pasaran yang telah ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Khamis lalu KPDNHEP telah membuat serbuan dan merampas 223,000 unit topeng muka tiga lapis bernilai RM446,000  di sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Mengulas lanjut laporan serbuan tersebut, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata topeng  dijual secara tersembunyi kepada pelanggan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM2 seunit ketika itu.

Foto KPDNHEP

Suspek dikatakan menggunakan laman sosial Facebook bagi mengiklan penjualan topeng muka. Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang yang dibeli akan dihantar melalui pos atau melalui kaedah Cash On Delivery (COD) di kawasan Kota Damansara Petaling Jaya.

Suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011). Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Iskandar berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245.

 

 

 

 

 

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button