Semasa

‘Hanya 4 orang penguat kuasa, bukan 122 orang tangkap Sajat’ – Pengarah JAIS

Itu jumlah signifikan yang boleh menjalankan tugas

SHAH ALAM 27 Feb :  “Bukannya 122 orang serbu tangkap Nur Sajat dalam satu masa,”

Demikian penjelasan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Beliau sebaliknya berkata, hanya sekitar empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman dalam satu-satu masa.

Memetik Sinarharian, katanya jumlah penguat kuasa seramai 122 orang itu merupakan jumlah signifikan untuk mereka yang mempunyai kuasa menahan Nur Sajat.

“Bagaimanapun, hanya empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan Nur Sajat jika beliau berada di dalam premis seperti rumah, hotel dan sebagainya,” – Pengarah JAIS /  Datuk Mohd Shahzihan Ahmad

Menurutnya, anggota penguat kuasa JAIS akan ditempatkan di lokasi biasa Nur Sajat sering berada.

“Penguat kuasa JAIS boleh menahan usahawan kosmetik itu tanpa menunjukkan waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Nur Sajat boleh ditangkap oleh salah seorang daripada 122 penguat kuasa JAIS kerana waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan oleh mahkamah,” – Pengarah JAIS /  Datuk Mohd Shahzihan Ahmad

Datuk Mohd Shahzihan berkata, tindakan dibuat mengikut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah iaitu mana-mana pegawai penguat kuasa agama atau pegawai masjid tanpa perintah daripada hakim atau tanpa waran boleh menangkapnya.

“Mana-mana orang yang waran telah dikeluarkan terhadapnya di bawah enakmen ini masih berkuat kuasa boleh ditangkap walaupun waran itu tidak ada dalam milikannya,” katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita dalam kejadian tiga tahun lalu.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.

 

 

Related Articles

Back to top button