DuniaSemasa

Hanoi lumpuh! lebih 100,000 premis ditenggelami air

Misi kemanusiaan dimulakan

HANOI : Pihak berkuasa Vietnam menggerakkan tugas kemanusiaan apabila kawasan tengah Hanoi dilanda bencana banjir besar dan melumpuhkan sebahagian besar bandar itu.

Agensi Berita Vietnam, VNA,  melaporkan banjir buruk memusnahkan 382 buah rumah, dan menenggelamkan 109,034 premis.

Setakat ini  23 nyawa terkorban  dan 14 orang lagi dikhuatiri masih hilang dalam musibah ini.

Segala usaha digerakkan terutama misi mencari dan menyelamat bagi penduduk yang hilang, sama ada dihanyut air bah atau pun akibat bot yang terbalik.

Bantuan kemanusiaan juga segera diberikan kepada mangsa terutama makanan dan bekalan air bersih.

Seramai 10 hingga 13 orang dilapor tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.

Media tempatan Saigon Giai Phong melaporkan sistem penerbangan tempatan Vietnam, Penerbangan Vietnam dan Penerbangan Pacific, membatalkan sebelas penerbangan menghubungkan Ho Chi Minh City dan Quang Binh, serta Ho Chi Minh City dan Hue.

Malah kenderaan di jalanan darat terkandas akibat paras air meningkat di Lebuh raya 1 ke perkampungan Thuong Lam.

Pihak pengurusan bencana di wilayah Thua Thien Hue memberitahu setakat ini nasib mereka tidak diketahui.

Sejak dua hari lalu, pihak berkuasa tempatan telah memindahkan seramai 45,835 orang dari keseluruhan 15,392 isi rumah.

Banjir besar yang berlaku semalam turut memusnahkan kawasan penanaman.

Antaranya kawasan sawah padi, seluas 584 hektar, 3,879 hektar kawasan penanaman sayur-sayuran, 2,141 kawasan akuakultur.

Selain nyawa manusia terkorban, banjir turut meragut nyawa haiwan ternakan 271 ekor lembu, dan 150,489 ekor ternakan unggas.

Pencarian mereka yang hilang ketika menaiki bot juga digerakkan pasukan penyelamat, apabila 17 buah bot dengan 106 penumpang dikatakan musnah dalam badai yang menghempas Hanoi.

Kerajaan Vietnam mengeluarkan senarai kawasan yang terjejas teruk mengikut wilayah seperti di Quang Binh, Quang Tri, Thua Thien-Hue, Quang Nam dan Quang Ngai.

Hujan lebat dijangka berterusan sehingga hari ini.

Ribut Nangka yang dijadual membadai bahagian utara Vietnam, akan membawa hujan lebat dengan lebih 400 milimeter di bahagian utara dan tengah Vietnam, dari Rabu hingga Jumaat ini.

Vietnam adalah kawasan yang terdedah kepada kejadian banjir dan ribut kerana kedudukannya di tepian pantai.

Tahun lalu, 132 orang maut dan 207 cedera akibat banjir kilat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button