Semasa

Had usia penggunaan kenderaan perkhidmatan awam dilanjutkan setahun

KUALA LUMPUR : Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan memberi pelanjutan selama satu tahun secara automatik kepada mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen atau permit kenderaan.

Ini termasuklah kenderaan yang telah mendapat lanjutan dalam tahun 2020 sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkata mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang telah mencapai had usia maksima penggunaan kenderaan untuk tempoh bermula 1 Januari 2021 sehingga 31 disember 2021 akan diberi pelanjutan secara automatik untuk setahun lagi.

“Pelanjutan ini adalah tertakluk kepada kenderaan terlibat menjalani dan lulus pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM bagi memastikan tahan keselamatan dan kelayakan berada di atas jalan.

“Pelanjutan ini akan melibatkan semua kelas kenderaan perhidmatan di bawah skop tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan MOT berkaitan pelanjutan had usia bas pelancongan juga turut diselaraskan dengan aspek pelesenan syarikat pelancongan dan pelesenan bas pelancongan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang berada di bawak skop kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Tambahnya, keputusan ini diambil susulan sesi perbincangan antara MOT bersama persatuan dan pengendali termasuklah Persekutuan Persatuan-persatuan Bas Sekolah Malaysia, Pan Malaysia Bus Operators Association (PMBOA), Persatuan Pengusaha Bas Persiaran Semenanjung Malaysia (PPBPSM), Gabungan Teksi Semenanjung Malaysia (GTSM), Koperasi Melayu Teksi Pulau Pinang, Persatuan Teksi India Wilayah Persekutuan dan Persatuan Kereta Sewa Hulu Selangor.

“MOT sentiasa mendengar dan prihatin terhadap segala rintihan pemain industri yang terjejas akibat Covid-19, tambahan lagi perkhidmatan pengangkutan awam adalah mod pengangkutan yang dekat di hati masyarakat.

“Kami memahami situasi yang terpaksa dihadapi oleh pemain industri apabila tidak berupaya untuk menggantikan kenderaan mereka pada waktu sukar ini.

“Diharapkan dengan pelanjutan ini ia dapat memberi kelegaan kepada industri pengangkutan awam seterusnya kembali pulih serta terus berdaya saing untuk tempoh panjang demi manfaat rakyat serta negara secara kesuluruhannya,” katanya.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Related Articles

Back to top button