DomestikSemasa

Golongan OKU tarik nafas lega

KANGAR –  Rakyat Malaysia terutama  golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang rata-ratanya terkesan akibat beberapa kekangan dihadapi mereka turut menarik nafas lega apabila Fasa Peralihan ke Endemik yang berkuat kuasa 1 April lepas.

Seorang OKU penglihatan Noor Jasmi Othman, 66 berkata hasil jualan kraftangan rotannya merosot selain tempahan yang sebelum ini diterima kira-kira 10 produk setiap bulan juga berkurang apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Saya turut menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan rotan bagi menghasilkan kraftangan seperti bakul, dulang dan bingkai gambar.

“Namun, sejak kerajaan mengumumkan Fasa Peralihan ke Endemik ini, keadaan sudah kembali seperti biasa dan saya mula mendapat tempahan pelanggan dari Pahang, Kuala lumpur dan Selangor,”katanya.

Turut berkongsi kisah, seorang tukang urut OKU penglihatan, Remli Abas, 63 yang turut terkesan apabila perkhidmatannya terjejas disebabkan Covid-19.

“Bulan Ramadan ini mungkin tak ramai sangat orang datang untuk berurut tapi saya yakin keadaan akan pulih seperti biasa dan pelanggan tetap saya akan datang semula (selepas ini)”,katanya.

Tambahnya lagi, beliau bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 sebulan apabila tidak menjalankan perkhidmatan mengurut sebelum ini.

Terdahulu, majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Moor Noor, turut diadakan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Orang Buta Malaysia dengan Rumah Lavender bagi membantu golongan OKU di Perlis.

Pengasas Rumah Lavender Tuan Marja Tuan Mat berkata, bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan OKU, pihaknya berharap Kerjasama ini dapat membantu memasarkan produk mereka di Perlis secara lebih meluas.

“Produk OKU ini tidak dapat dipasarkan secara meluas dan promosinya juga terhad, jadi Kerjasama MoU ini diharapkan dapat membantu OKU di Perlis untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today   

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button