DuniaKemanusiaan

Gencatan senjata gagal, Majlis Keselamatan campur tangan

Konflik Nagorno-Karabakh

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) membincangkan mengenai keperluan mengesahkan gencatan senjata di Nagorno-Karabakh, lapor agensi berita TASS.

Perwakilan Tetap Russia ke PBB, Vasily Nebenzya, berkata perlu untuk memastikan pengesahan gencatan senjata kerana ia adalah isu paling mendesak sekarang.

“Persoalan utama sekarang ialah bagaimana untuk menentusahkan gencatan senjata yang tidak dipatuhi itu,” katanya kepada media selepas mesyuarat tertutup mengenai konflik Nagorno-Karabakh.

Menurut Nebenzya, ada laporan mengatakan Menteri Pertahanan Russia sudah pun membincangkan perkara itu dengan rakan dari Armenia dan Azerbaijan bagaimana untuk menerapkan mekanisme supaya ia boleh ditentusahkan.

Bagaimanapun, katanya, mandat khas UNSC diperlukan untuk menghantar misi pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke wilayah yang menjadi pertikaian itu.

Beliau tidak menafikan bahawa proses pengesahan dapat dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, yang memimpin penyelesaian konflik itu.

“Namun, yang akan berada di sana dan atas kapasiti apa, siapa yang akan benar-benar mengesahkannya, inilah persoalan yang masih dibincangkan,” katanya.

Pertempuran terbaru meletus antara Azerbaijan dan Armenia pada 27 September lalu di wilayah Nagorno-Karabakh yang menjadi pertikaian selepas gencatan senjata yang dipersetujui gagal memulihkan keadaan.

Perbincangan mengenai penyelesaian Nagorno-Karabakh berlangsung sejak 1992 di bawah Kumpulan Minsk OSCE yang dipimpin Russia, Perancis dan Amerika Syarikat (AS). – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button