Semasa

Perginya seorang pejuang kemanusiaan

KUALA LUMPUR : Pimpinan utama badan bukan kerajaan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan juga seorang aktivis kemanusiaan, Dr Mohd Tahir Abd Rahman, 71, telah kembali ke rahmatullah pada jam 3.40 pagi tadi di Hospital UiTM Sg Buloh.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Fazli Tahir menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

“Bagi yang mengenali ayah kami, Dr Mohd Tahir Abdul Rahman, beliau telah kembali ke rahmatullah jam 3.40 pagi sebentar tadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Difahamkan jenazah dimandikan di Masjid Puncak Alam dan disolatkan pada 8 pagi tadi.

Untuk rekod, Allahyarham Dr Tahir yang meninggal dunia pada usia 71 tahun merupakan bekas pensyarah di Universiti Malaya (UM) serta ahli lembaga pengarah pemegang amanah MyCARE.

Allahyarham juga adalah ayahanda penyanyi terkenal negara, Faizal Tahir yang juga sangat aktif dalam memperjuangkan kemanusiaan di bumi Palestin menerusi AqsaSyarif dan MyCARE.

Solat jenazah untuk Allahyarham Dr Mohd Tahir Abd Rahman Gambar – Facebook Zayan

Ruangan komen di laman media sosial dibanjiri dengan ucapan takziah kepada keluarga dan ramai yang mengenang kembali kenangan saat bersama dalam menjalankan aktiviti kemanusiaan.

Seorangnya lagi anak Allahyarham, Anas Tahir yang juga penyampai radio Zayan turut berkongsi berita duka itu menerusi catatan di akaun Instagram miliknya.

Sifat keperibadian yang mulia menjadikan beliau seorang figura yang hebat dan disegani ramai sehinggakan beliau sering dipanggil ‘ayahanda’ oleh sesiapa yang mengenalinya.

Selepas bersara, beliau terlibat aktif dalam bidang kemanusiaan bersama Aqsa Syarif dan sudah menjejakkan kaki di bumi Gaza sebanyak tiga kali dengan tujuan menyampaikAN bantuan dan pembinaan semula Palestin.

Allahyarham mengetuai Aqsa Syarif dengan permulaan yang sukar dan serba kekurangan di mana dengan hanya berbekalkan RM15,000 untuk membuka pejabat kecil dan menggerakkan Aqsa Syarif.

Antara misi yang pernah dilaksanakan adalah bantuan jangka pendek diagihkan sempena sambutan bulan puasa berbentuk makanan, kelengkapan Hari Raya serta bantuan perubatan.

Sumbangan itu meliputi projek pembangunan termasuk bantuan keperluan asas, perubatan, sosioekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kemanusiaan.

Beliau juga antara yang pernah membantu beberapa selebriti termasuk Datuk Afdlin Shauki serta rakan-rakan iaitu Bront Palarae dan Zain Saidin memasuki Gaza pada 2012 lalu.

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button