Semasa

Gadis penghantar makanan disamun, tangan terpaksa dipotong

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday

PETALING JAYA: Seorang gadis berusia 17 tahun yang menyara keluarganya berdepan ujian berat apabila menjadi mangsa samun di Jalan Kuching menghala pusat bandar Khamis lalu.

Dilaporkan mangsa Siti Nur Azizah Syafriadi, dikejar oleh tiga orang lelaki menaiki dua motosikal kira-kira jam 12.10 tengah malam.

Tiga lelaki terbabit bertindak menendang motosikal yang dinaiki Azizah iaitu jenis Y15ZR sebelum menyamun mereka.

Nur Azizah kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ekoran cedera di bahu kanan sehingga terpaksa dipotong paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru meskipun saluran darah utama sudah dijahit.

Menurut ahli keluarga Nur Azizah ketika dihubungi FMT berkata, doktor tidak dapat dapat menyelamatkan tangan kanannya yang sudah tidak boleh lagi berfungsi.

“Doktor buang tangan kanan dia (Nur Azizah) sampai paras bahu, masa masuk kecemasan doktor sudah jahit saluran darah utama.

“Tetapi pagi semalam (Jumaat) doktor tengok tangan dia dah membiru, sudah tidak boleh berfungsi jadi doktor telefon waris nak minta kebenaran potong tangan,” katanya abang saudara mangsa yang enggan namanya disiar.

Lebih memilukan, Azizah merupakan anak sulung daripada lima adik beradik.

Menurut abang saudara mangsa, selepas pemergian bapanya, Azizah menggalas tanggungjawab menambah pendapatan harian bagi menyara keluarga.

Dia yang kini menetap di PPR Beringin Jinjang membuat perkhidmatan menghantar makanan.

“Dia anak sulung cari rezeki siang malam hantar makanan, tapi dia dianiaya sampai kudung tangannya, dia merupakan anak yatim dan dia disamun ketika sedang keluar cari rezeki,” katanya.

Tambahnya lagi, selaku abang saudara mangsa, dia sangat berharap agar tiga suspek berkenaan berjaya ditangkap dan mendapat hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.

“Kepada penyamun ingat ya, dia ada abang saudara yang masih hidup, mak saudara yang masih hidup, kami akan pastikan ketiga-tiga suspek mendapat hukuman setimpal dengan undang undang di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

Beh meminta agar saksi kejadian atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Free Malaysia Today

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button