KerohanianSemasaSirah

FITNAH – Pandemik Terbahaya Di Dunia Yang Belum Pernah Ada Penawar

Terdapat banyak hal yang diperkatakan sebagai cabaran zaman moden ketika ini. Ada yang berbincang mengenai kos sara hidup, ada yang berbincang isu perang yang terus meragut nyawa seperti tiada nilai, tidak kurang juga yang berbicara soal hak asasi sehingga mendefinisi semula dunia sosiologi manusia.

Namun sedarkah kita, masalah yang membelenggu manusia akhir zaman hari ini terhasilnya dari satu penyakit yang sama sejak beribu-ribu tahun lamanya tanpa ada satu penawar pun yang dapat menghilangkannya iaitu FITNAH. Bahkan ia semakin ‘membarah’ dalam dunia serba moden yang dipacu pelbagai kemudahan seperti media sosial dan teknologi terkini.

Makna Fitnah 

Kata fitnah berasal dari bahasa Arab (الفِتْنَةُ) yang membawa makna ujian (ibtila’). Dari segi istilah pula, makna fitnah itu mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari menyebut yang bermaksud:

“Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” 

Mengikut pengertian bahasa Melayu (Kamus Dewan Bahasa Melayu Edisi Keempat) fitnah merujuk kepada perbuatan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan atau membencanakan sesuatu pihak.

Ancaman Allah dan Rasulullah terhadap perbuatan fitnah

Fitnah adalah satu bentuk kebohongan yang lebih berbahaya kepada manusia dari pembunuhan. Allah berfirman sebanyak 15 kali dalam kalamNya kepada nabi Muhammad SAW berkenaan perbuatan fitnah sehingga meletakkan dosa fitnah lebih berat dari perbuatan membunuh seperti mana yang terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 217:

“Mereka bertanya engkau tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah (Muhammad) : “Berperang dalam bulan itu berdosa besar. Perbuatan menghalang orang dari jalan Allah dan kufur kepadaNya , (melarang orang masuk) ke masjidil haram serta mengusir penduduknya adalah lebih dosanya di sisi Allah. Fitnah lebih besar dosanya daripada pembunuhan…” 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda yang artinya;

“Tidak akan masuk surga orang yang suka menebar fitnah.” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]

Mengapa begitu berat sekali? Benarkah membuat fitnah lebih kejam dari perbuatan yang menamatkan nyawa manusia lain?

Bahaya fitnah 

Bagaikan wabak berjangkit, fitnah juga bersifat seperti itu. Malah ia lebih mudah dijangkiti berbanding mana-mana penyakit kerana tidak memerlukan tempoh inkubasi sebelum ia menampakkan kesannya. Semudah duduk dan mendengar atau membaca apa-apa berita yang nampak meyakinkan, terus seseorang itu boleh terjebak dengan bahaya fitnah. Bahaya jika seseorang itu mempercayai sesuatu tanpa usul periksa, malah lebih parah jika turut menyebarkannya kepada manusia lain.

Banyak kisah-kisah lalu yang pernah berlaku membuktikan bahaya fitnah ini. Contohnya:

  • kerana fitnah, kaum Muslimin menjatuhkan maruah Aisyah RA dengan mengatakan Ummul Mukminin itu curang terhadap suaminya nabi SAW. sehingga baginda sendiri bertindak mengasingkan Aisyah dari dirinya untuk seketika dalam peristiwa al-Ifki.
  • kerana fitnah, Saidina Uthman RA dibunuh oleh mereka yang termakan hasutan oleh orang yang mendakwa pimpinannya lemah berbanding Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khatab.
  • kerana fitnah, sehingga kini para sahabat Nabi digelar kafir oleh sesetengah golongan umat Islam.
  • kerana fitnah, masyarakat bukan Islam mempunyai pandangan berunsur Islamofobia terhadap agama Islam.
  • kerana fitnah, ramai yang terkesan sehingga dirinya mengalami tahap kemurungan sehingga sanggup bertindak mencederakan atau membunuh diri.

Realiti pandemik fitnah

Di kala dunia menghadapi pelbagai sejarah pandemik yang membunuh berjuta nyawa dek kemunculan virus yang tidak kelihatan, fitnah terus berleluasa dan diwarisi hingga ‘membunuh’ berjuta ruh yang asalnya cintakan kedamaian dek hasutan syaitan yang berselindung di sebalik topeng manusianya.

Fitnah kini menjadi makanan masyarakat di seluruh dunia, termasuklah di kalangan orang Islam. Ramai tidak menyedari dirinya menjadi pemfitnah kerana sekadar berkongsi perkara yang diterima dari orang lain tanpa dia sendiri tahu kebenarannya.

Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

1. apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

2. apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Langkah menyekat fitnah

Islam mengajar tatacara komunikasi dalam kehidupan hatta melarang bercakap sesuatu tentang orang lain dengan niat mendatangkan ketidak adilan dan keburukan ke atasnya walaupun perkara tersebut benar.

Seorang Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah;

“Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu? Lalu Rasulullah menjawab; ‘Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di belakangnya.’ Kemudian Sahabat kembali bertanya; ‘Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar?’ Rasulullah kemudian menjawab; ‘kalau sekiranya yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah. Tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” (H. R. Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi).

Justeru umat Islam perlulah sentiasa mengimbangkan kewarasan akal dengan rasa takut kepada azab Allah yang sangat keras dalam menyampaikan apa sahaja perkara. Malah kita diajar untuk diam jika tiada perkara baik yang boleh diucapkan terutamanya ketika sedih atau marah.

Kita juga perlu ingat bahawa kehidupan yang penuh fitnah ketika ini adalah antara tanda dekatnya kita dengan hari kiamat. Baginda Nabi SAW pernah berpesan kepada sahabat dalam satu hadis baginda:

“Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera.

– [HR al-Bukhari 2940].

Oleh itu marilah kita muhasabah diri agar tidak terperangkap dengan kepuasan dalam mengatakan sesuatu yang tidak benar atau sesuatu yang mendatangkan keburukan kepada orang lain walaupun tanpa niat. Jadikan lah nabi Muhammad SAW sebagai contoh terbaik dalam kehidupan agar tindak tanduk kita boleh mendekatkan kita kepada ketaqwaan.

Hadamkan kata-kata ini:

Sayang Langkawi jauh ke tengah,
Singgah bermalam di Tanjung Pandan;
Sedang berkasih dilanda fitnah,
Hidup membuat merana badan.

(Artikel ini turut disumbang oleh saudara Syukri Zoharodzi, pegawai pelatih MAPIM Malaysia)

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button