Semasa

Firma guaman syarie dibenar beroperasi ketika PPN – Dr Zulkifli

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

KUALA LUMPUR: Firma Guaman Syarie dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui sistem Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peguam syarie di seluruh negara boleh mengemukakan permohonan bagi pengoperasian pejabat atau firma guaman syarie sepanjang PPN.

“Permohonan tersebut akan diuruskan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi tujuan pertimbangan untuk kelulusan pengoperasian, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 15 Julai lalu.

“Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada negeri yang berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli berkata, permohonan boleh dibuat menerusi Kluster Perundangan dan Kehakiman Syariah dan Sektor Guaman Syarie yang mempunyai empat subsektor iaitu Khidmat Nasihat Profesional Guaman Syarie, Perkhidmatan Guaman Syariah, Perkhidmatan Khidmat Nasihat dan Peguam Syarie bagi tuntutan Harta Pusaka, Hibah dan Wasiat serta Perkhidmatan Perunding Keluarga Islam.

“Saya mengharapkan peluang ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua Peguam Syarie di seluruh negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Suka juga diingatkan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama terutamanya Peguam Syarie untuk mematuhi segala SOP yang ditetapkan MKN seterusnya dapat mengelakkan berlaku penularan wabak Covid-19 ini semasa pengoperasian pejabat atau firma guaman Syarie.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan agar gunakan pendekatan yang terbaik sebagaimana yang ditetapkan MKN bagi pengurusan kes di Mahkamah Syariah.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button