Semasa

Ebit Liew, Norfarrah terima anugerah Hari Belia Negara 2020

Anugerah suntik majukan terus belia

Pendakwah dan sukarelawan terkenal, Ebit Liew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Liew, 36 menerima Anugerah Khas Hari Belia Negara 2020.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) di Johor Bahru, semalam.

Beliau menyifatkan sumbangannya kepada golongan belia adalah kecil namun sangat menghargai anugerah yang diterima.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan gembira dapat jumpa Perdana Menteri sendiri, sebelum ini asyik tengok di kaca televisyen sahaja. Saya sedar apa yang saya lakukan adalah sumbangan kecil. Saya sedar tidak layak kerana lebih ramai yang berkorban serta berjuang. Saya hanya usaha kecil dalam kalangan orang ramai tetapi saya sangat bersyukur dapat bersama dengan anak muda pada hari ini.

“Nasihat kepada golongan belia kena berjuang niat kerana Allah, dan tanamkan keikhlasan. Ia tidak akan berhenti bila diri dihargai, dipuji atau dikeji, disukai atau tidak kita akan terus buat baik sehingga kita bertemu dengan Allah supaya sentiasa mendapat keredaan,” katanya yang membawa pulang hadiah trofi serta wang tunai bernilai RM10,000.

Sementara itu, Norfarrah Syahirah Shaari, 32, menjadi seorang daripada enam penerima Anugerah Wira Belia COVID-19, yang juga anugerah yang julung kali diwujudkan.

Norfarrah Syahirah adalah orang kurang upaya (OKU) yang menjahit menggunakan kaki serta menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE), biarpun tidak mempunyai kedua belah tangan.

“Saya tidak jangka dapat anugerah ini. Saya jahit baju PPE menggunakan kaki dalam program CSR anjuran Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak dapat menyiapkan 332 pasang PPE secara bersama.

“Cabaran itu saya tidak rasa susah sebab sudah biasa jahit menggunakan kaki. Saya ada kemahiran menjahit dengan melihat ibu dan sedikit demi sedikit berusaha belajar teknik jahitan. Saya hanya menjahit pada waktu cuti,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button