Semasa

DUN Selangor mula bersidang 23 Ogos ini – MB Selangor

SHAH ALAM : Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan bersidang bermula 23 Ogos hingga 6 September depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan itu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi warkah yang diutus baginda bertarikh 6 Julai lalu.

Perkara ini selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Sultan Sharafuddin juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021.

“Kerajaan Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Sultan Sharafuddin yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan

Menurut kenyatan itu, Sultan Selangor berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada Isnin depan.

DUN Selangor kemudian akan mula bersidang selama sembilan hari.

Amirudin turut menjelaskan, sidang DUN kali ini mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukannya sekadar sidang khas.

“Sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan Selangor menangani penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, sidang DUN juga dilakukan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

“Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak Covid-19 di negeri ini,” jelasnya.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Related Articles

Back to top button