Semasa

Dua pengarah syarikat daging didakwa guna logo halal palsu

Mengaku tidak bersalah atas pertuduhan

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku didakwa di Mahkamah Seksyen Johor Bahru  hari ini.

Tertuduh, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan isterinya, Raihanah Kasim, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Haidar Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, syarikat yang dimiliki pasangan tersebut, Raihanah Cold Storage Sdn Bhd didakwa menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa pada lori syarikat.

Pasangan didakwa atas kesalahan menggunakan logo halal palsu pic:Berita Harian

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di premis berkenaan di Jalan Perniagaan Stia 6 di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru, kira-kira pukul 1:00 petang pada 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM500,000.

Bagi pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat Raihanah Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah lori model yang berbeza di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Peguam bela, Noor Liana Hashim dan Lau Kok Guan kemudian merayu jaminan dikurangkan atas alasan syarikat itu masih beroperasi dengan 20 pekerja, selain pasangan suami isteri itu menanggung empat anak berumur antara 10 dan 20 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu dijamin masing-masing dengan RM40,000 dan seorang penjamin selain menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi penyerahan dokumen. – Berita Harian

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button