Dunia

Dua kali dilanda gempa, 6 maut di Croatia

Ramai terperangkap di bawah runtuhan

ZAGREB : [VIDEO] Setelah dua hari berturut-turut dilanda gempa bumi, enam orang dilaporkan maut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun manakala ramai lagi  yang cedera di bandar Petrinja berpenduduk seramai 20,000 orang itu.

Angka korban jiwa dijangka meningkat berikutan kerja-kerja menyelamat masih dijalankan.

Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter semalam turut menggegar Zagreb, menyebabkan ribuan bangunan runtuh.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, USGS, gempa berlaku pada jam 7:19 petang waktu tempatan.

Gegaran melanda pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat di Petrinja, 50 kilometer ke selatan Zagreb.

Sehari sebelumnya pada Isnin, gempa menggegar pada kekuatan 5.2 pada skala Richter, juga di lokasi yang sama berhampiran Petrinja.

Gegaran gempa yang melanda kawasan tengah Croatia itu juga menyebabkan ramai yang terperangkap apabila bangunan runtuh.

Datuk Bandar Petrinja, Darinko Dumbovic, memberitahu agensi media N1 bahawa pasukan penyelamat mengeluarkan ramai mangsa tersepit dalam kenderaan tanpa mengetahui sama ada mereka masih hidup atau sebaliknya.

“Penduduk panik mencari anggota keluarga manakala pihak berkuasa dan tentera dikerah menyelamatkan mangsa terperangkap dalam runtuhan,” katanya.

Rakaman menunjukkan sebahagian kerja-kerja menyelamat sebaik gegaran reda menyaksikan ramai yang tertimpa cebisan runtuhan yang dirakam agensi media sky news.

Video menunjukkan seorang kanak-kanak berjaya dikeluarkan daripada kenderaan yang rosak dihempap sisa runtuhan.

Menurut Jabatan Pemantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gegaran besar di Petrinja itu menyusul sehari selepas beberapa gegaran kecil di sekitar bandar berkenaan.

Sementara itu beberapa gempa susulan dikesan selepas gempa utama melanda Zagreb.

Gempa kali kedua di Zagreb itu dapat dirasai sejauh Bosnia and Herzegovina, Czechia, Croatia, Germany, Hungary, Italy, Montenegro, Romania, Slovakia, Slovenia, Serbia, dan Austria.
Malah gempa susulan terus berlaku semalaman, seperti yang dilaporkan analisis persendirian kajian gempa @emsc  dalam tempoh 42 jam selepas dibadai gempa 33 gegaran susulan dirasai di sekitar lokasi gempa.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button