Hiburan

Dr. Zulkifli kunjungi Sazali P.Ramlee

Prihatin nasib anak Seniman Negara

SEMENYIH : Sejurus media melaporkan mengenai nasib anak Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang kini bergelar Orang Kelainan Upaya, OKU, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri, berkunjung menziarahi beliau.

Sazali Ramli dan Hamidah Hitam, menerima kunjungan hormat Datuk Dr. Zulkifli di rumahnya di Semenyih.

Lawatan beliau dikongsi di halaman rasmi Facebook beliau.

Di kesempatan itu, selain bertanya khabar, beliau juga berbual mengenai kisah-kisah filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama Sazali.

Beliau turut mengimbas sejarah Sazali yang pernah berlakon di dalam filem Ahmad Albab.

“Semalam sempat singgah sebentar menyampaikan sumbangan kepada En. Sazali P. Ramlee. Bagi yang masih teringat filem Ahmad Albab, inilah “anak jin” yang bermain-main dengan Ahmad Albab di dalam gua. Kami sempat berbual-bual tentang kisah silam Seniman Agung P. Ramlee yang beliau panggil sebagai “Daddy”. Walaupun kini bertongkat dek pernah terlibat dalam kemalangan, beliau nampaknya begitu ceria menyambut kami.”

– Menteri di Jab. Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad

Datuk Dr. Zulkifli berkata beliau dimaklumkan Sazali mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau turut memberikan sumbangan kepada pasangan Sazali dan isteri, malah mendoakan kebahgiaan mereka berdua.
Sazali kini tidak bekerja selepas terbabit kemalangan sejak 13 tahun lalu, dan dikategorikan sebagai OKU.
“Sebelum melangkah pulang, seakan terngiang-ngiang lagu Anakku Sazali. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah kepada almarhum Tan Sri Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh @ P. Ramlee. al-Fatihah !
–  Menteri di Jab. Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad

Baru-baru ini Sazali dikunjungi dalam siri Ziarah Kunjung menerusi Program Ziarah Finas Prihatin 2.0 melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Industri,  Kebajikan dan Data Industri.

Usaha itu bagi menghulurkan sedikit sumbangan kepada selebriti veteran dan waris penggiat seni tanah air berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini yang ramai orang terjejas pendapatan.

Turut menyumbang ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button