Covid19HiburanSemasa

Diasak tidak patuh SOP, program rancangan realiti hiburan dihentikan serta-merta

MKN gesa siasatan oleh KKMM

KUALA LUMPUR : Sebuah program realiti di salah satu siaran berbayar yang diadaptasi daripada program British Together Now dihentikan tayangannya serta merta.

Pihak penerbitan rancangan berkenaan memutuskan untuk menghentikan siaran program tersebut sehingga siasatan dakwaan berlakunya pelanggaran SOP diputuskan.

Program terbaharu syarikat berkenaan yang mengumpulkan juri-juri terdiri daripada kalangan pelawak, penyanyi, pelakon, penyampai radio dan wartawan hiburan bagi mencari penyanyi baharu berbakat mendapat kecaman hebat daripada masyarakat netizen Malaysia. Kecoh di media sosial netizen mempersoalkan apabila 50 juri ditempatkan dalam satu sesi rakaman.

Rata-rata masyarakat Malaysia mempersoal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang rakaman berlangsung. Ada juga antara kecaman yang membandingkan kapasiti jemaah masjid dan program hiburan ini yang mendapat ‘layanan’ berbeza.

Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom yang melakukan cerapan di media sosial mendapati rata-rata ramai memberi teguran terhadap program itu sejak semalam.

Antara kritikan yang diterima oleh pengguna Facebook berkaitan Program Hiburan tersebut

Kritikan orang ramai itu menarik perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga menggesa siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan  berikutan aduan pelanggaran SOP yang diterima.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, MKN, Datuk Mohd Rabin Basir. berkata siasatan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Tambah beliau, tindakan akan dikenakan jika didapati terdapat pelanggaran SOP sepanjang rakaman terbabit.

Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, memberitahu rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

“Semua krew penerbitan telah menjalankan ujian calitan COVID-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya yang berstatus negatif sahaja dibenar menyertai rakaman.” – Raqim Ahmad / Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro

Oleh  : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih UiTM Fakulti Kewartawanan dan Media 

Related Articles

Back to top button