Kerohanian

Di Kala Berlaku Kemelut, Carilah 5 Ciri-ciri Pemimpin Yang Tidak Akan Mengecewakan

Sebagai negara yang diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, pegangan agama baginda Raja mendasari prinsip undang-undang dan sistem politik Malaysia di peringkat Persekutuan dan negeri.

Perkara 181 (1) itu disyaratkan bahawa prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan’ (2018) ialah bersumberkan ajaran Islam sebagai agama persekutuan yang sentiasa meletakkan kesempurnaan dan keseimbangan di dalam satu pemerintahan.

Menurut Islam, doktrin amanah kedaulatan dijelaskan oleh firman Allah dalam surah Sad (38: 26) yang bermaksud:

Wahai Daud! Sesungguhnya kami menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Kuasa yang diberi kepada pemerintah atau ketua yang memimpin bukanlah satu bentuk kemenangan yang perlu dijulang tinggi hatta dibanggakan kerana ia adalah satu beban amanah yang luarbiasa. Justeru, ciri-ciri yang diletakkan sebagai syarat bagi sesiapa yang terpilih untuk menanggung amanah haruslah dari kalangan yang luarbiasa. Antara kriteria yang dimaksudkan dalam menentukan kepimpinan yang baik adalah lima ciri berikut:

  1. Diserahkan kepada ahlinya
    melantik mereka yang benar-benar layak berdasarkan ilmu pengetahuan di dalam bidangnya dan mampu melaksanakan tugas dengan baik dan jujur tanpa apa-apa kepentingan peribadi yang boleh merosakkan institusi yang dipimpin.
     
  2. Akauntabiliti
    prinsip kebertanggungjawaban atas sesuatu tindakan, keputusan dan dasar, termasuk juga kewajipan untuk melapor, menjelas dan bersedia untuk menjawab persoalan dengan penuh berhemah tanpa wujudnya sentimen kebencian atau provokasi.
     
  3. Pematuhan prinsip menggalakkan kebaikan dan mencegah kemudaratan
    seorang pemerintah perlu melaksanakan dasar untuk melahirkan orang bawahan yang baik dan mewujudkan suasana harmoni dalam institusi yang ditadbir. Dasar dan pelan tindakan hendaklah mempunyai objektif jelas, galakan kepada kebajikan dan pencegahan terhadap kemudaratan, manakala implikasi setiap keputusan perlu diperhalusi agar kesannya sentiasa patuh prinsip syariah.
     
  4. Sikap teliti
    seorang pemerintah hendaklah mengamalkan sikap berhati-hati, cermat, bijaksana dan berpandangan jauh demi memastikan setiap tutur kata dan tindakannya hanya didasari oleh matlamat yang memberi manfaat secara keseluruhan walaupun dilihat memberi kesan yang tidak digemari oleh sesetengah pihak.
     
  5. Muhasabah
    seorang pemerintah hendaklah sentiasa menghitung diri dan mengambil iktibar, menginsafi bahawa kekuasaan, pangkat, harta negeri dan masalah yang membelenggu itu adalah ujian berbentuk amanah Ilahi, bukanlah hanya bersifat retorik. Semua tindak-tanduk, keputusan dan perlakuan sebagai seorang pemerintah perlu sentiasa disemak bagi mengelakkan berlakunya kezaliman.

 

Apabila pemimpin-pemimpin negara dan para ulama itu baik, maka baiklah alam. Dan apabila pemimpin-pemimpin negara dan para ulama itu rosak, maka rosaklah alam (Masyarakat) dan negara – Kh. Ahmad Dahlan

 

Selain daripada itu, konsep syura (proses perbincangan), ijtihad (menyelidik sesuatu berdasarkan peraturan-peraturan tertentu) dan ijmak (kesepakatan pendapat antara para ilmuan berhubung sesuatu masalah) juga adalah konsep yang perlu dijadikan garis panduan tetap dalam kepimpinan yang baik. Pemerhatian dalam amalan di atas menunjukkan terhimpunnya prinsip ketelusan, persamaan dan kebebasan. Perundangan Islam secara khusus mengiktiraf kekuasaan syura dalam mencapai keputusan bersama dan mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan dan persamaan khususnya dalam permasalahan di kalangan umat Islam tanpa mengganggu gugat kesejahteraan di kalangan orang bukan Islam.

 

Disediakan oleh Izzarina Idris

Source
Sumber: Berita Harian, MStar, Qurantweet

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button