Covid19Semasa

Covid-19:Catat lebih 800 kes 3 hari berturut-turut, sembuh-455

3 kematian (0.9%) daripada seluruh 21,363 kes

PUTRAJAYA : Buat tiga hari berturut-turut, kes jangkitan baharu Covid-10 melepasi angka 800. Hari ini 865 kes baharu dilaporkan,  menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 21,363 kes dengan jumlah kes aktif iaitu 7,456.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 858 kes adalah penularan tempatan manakala tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

 

 “Kes di dalam penjara pula membabitkan 17.8 peratus atau 154 kes. Antara kluster di penjara yang mencatatkan kes baharu termasuklah

Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Tembok serta empat kes saringan tahanan Penjara Tapah.

“Kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya.

Tan Sri Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 455 kes sembuh dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 13,717 kes bersamaan 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi tujuh kes import, jelas beliau terdapat empat kes mendapat jangkitan dari China dan masing-masing satu kes dari Australia, Amerika Syarikat dan Qatar.

“Kes import ini membabitkan tiga warga tempatan dan empat warga asing. Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata 643 kes baharu yang dilaporkan di Sabah, sebanyak 343 kes dikesan daripada hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19, manakala 183 kes daripada kluster sedia ada diikuti 117 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

Selangor pula mencatatkan 101 kes iaitu 71 kes daripada kluster sedia ada, 19 kes lagi daripada saringan kontak rapat kes positif, dua kes dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah, satu kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Hentian dan lapan kes daripada lain-lain saringan COVID-19,” katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, Labuan mencatatkan 34 kes iaitu 33 kes daripada kluster sedia ada dan satu kes hasil saringan pulang dari kawasan berisiko iaitu Sabah.

“Selain itu, Pulau Pinang mencatatkan 26 kes iaitu 24 kes daripada kluster sedia ada dan dua kes pula hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah. Perak turut mencatatkan pertambahan iaitu 18 kes membabitkan sembilan kes yang dikesan daripada kluster sedia ada, tujuh kes daripada lain-lain saringa COVID-19 dan dua kes daripada kontak rapat kes positif,” katanya.

Negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes ialah Melaka iaitu 16 kes dilaporkan hari ini, jumlah itu membabitkan 11 kes daripada kluster baharu, tiga kes daripada saringan Depoh Tahanan Imigresen dan masing-masing satu kes hasil saringan kontak rapat kes positif dan saringan individu bergejala.

“Enam kes pula dilaporkan di Kuala Lumpur iaitu empat kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan masing-masing satu kes daripada kluster sedia ada dan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah. Negeri Sembilan pula mencatatkan empat kes iaitu masing-masing dua kes daripada kluster sedia ada dan hasil saringan kontak rapat kes positif COVID-19.

“Kedah dan Putrajaya masing-masing mencatatkan tiga kes baharu iaitu daripada kluster sedia ada, diikut Johor dua kes iaitu masing-masing satu kes daripada kluster sedia ada dan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah,” katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, Pahang dan Terengganu masing-masing mencatatkan satu kes baharu hari ini iaitu hasil saringan individu bergejala dan kes daripada kluster sedia ada.

Sementara itu, mengenai kes kematian, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat tiga kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian disebabkan oleh COVID-19 di negara ini sebanyak 190 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button