Covid19

Covid 19 – UK kumpul dana untuk bantu negara rentan

Raab ingin fokus kepada penyelesaian global

LONDON : Hari ini, negara Britain memaklumkan sedang mengumpul dana berjumlah AS$1 bilion (RM 4.32 bilion) daripada penderma seluruh dunia bagi membantu negara rentan mendapatkan akses vaksin Covid-19 melalui sumbangan dana yang sepadan.

United Kingdom (UK) berkata, sebagai tambahan, negara itu memperuntukkan £548 juta (RM2.10 bilion) untuk pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, COVAX iaitu sepadan dengan £1 (RM5.47) bagi setiap AS$4 (RM16.12) yang dijanjikan oleh penderma lain.

Kanada, Jepun dan Jerman merupakan antara negara yang turut menyumbang dan ini menjadikan jumlah kutipan kini mencecah AS$1.7 billion (RM 6.86 bilion).

Menurut Pejabat Luar Negara Britain, dana ini membolehkan pengagihan sebanyak sejuta dos vaksin Covid-19 kepada 92 negara membangun bagi tahun ini.

“Kita hanya akan selamat daripada virus ini jika semua orang adalah selamat. Disebabkan itu kita perlu fokus kepada penyelesaian global untuk masalah global,” – Dominic Raab, Setiausaha Luar Negara Britain

Pengumuman itu dibuat ketika Britain memperingati ulang tahun ke-75 mesyuarat pertama Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di London dan menjadi tuan rumah bagi lawatan maya Setiausaha Agung PBB, António Guterres bermula hari ini.

Guterres dijangka bertemu Raab dan Perdana Menteri UK, Boris Johnson, pada esok (11 Januari) termasuk Alok Sharma, yang pada minggu ini dilantik sebagai presiden untuk sidang kemuncak utama iklim PBB, COP26, pada November. – AFP

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button