Covid19DuniaKerohanian

Covid-19 : Tiada Solat Jumaat di Masjid Sultan Singapura hari ini

Kes positif jemaah dikesan 18 Ogos lalu

Masjid Sultan Singapura akan ditutup pada hari ini (28 Ogos) bagi kerja penyahkuman setelah seorang pengunjung ke masjid itu diuji positif COVID-19.

Masjid itu akan dibuka semula pada hari esok. (Sabtu 29 Ogos)

Majlis Ugama Islam Singapura, MUIS, dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan republik, MOH, itu bahawa individu tersebut berada di masjid pada 18 Ogos di antara jam 2.33 petang dan 3.00 petang.

Penutupan sementara masjid itu diumumkan dalam satu catatan di laman Facebook MUIS pada Khamis (27 Ogos).

Menurut MUIS, kesemua tempahan untuk solat berjemaah esok secara automatik tidak terpakai, termasuk tempahan bagi solat Jumaat.

Individu yang dijangkiti itu tidak menunjukkan sebarang gejala apabila beliau mengunjungi masjid tersebut, dan hanya didapati positif COVID-19 selepas itu.

MOH telah mengesan beberapa individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes berkenaan dan mengarahkan mereka dikuarantin.

Sungguhpun begitu, para jemaah yang telah ke Masjid Sultan pada tempoh berkenaan dinasihat untuk memantau kesihatan mereka sehingga sekurang-kurangnya 1 September ini dan berjumpa doktor dengan segera jika berasa tidak sihat.

“Kejadian itu satu peringatan yang tepat pada masanya, mengenai pentingnya pelaksanaan langkah pengurusan selamat di masjid, supaya kita boleh mengambil tindakan pembetulan segera dan tidak perlu menutup masjid untuk tempoh yang berpanjangan,” menurut MUIS dalam hantaran terkini Facebooknya.

MUIS turut menekankan pentingnya sistem ‘Safe Entry’ untuk membantu dalam pengesanan kontak sekiranya berlaku kes jangkitan.- BERITAmediacorp

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button