Covid19KesihatanSemasa

Covid-19 : Nilai kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) meningkat sejak 4 Ogos lalu

Akibat kemunculan kluster-kluster baharu

Nilai kebolehjangkitan COVID-19 (Rt) yang meningkat sejak 4 Ogos lalu, adalah disebabkan kemunculan kluster baharu yang dilaporkan sejak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kali terakhir Rt terendah iaitu pada tahap 0.58, dicatatkan pada 4 Ogos lalu.

Katanya, Rt tertinggi di negara ini pula dicatatkan pada tahap 1.37 pada 22 Julai lalu.

“Sebagaimana semua sedia maklum, nilai Rt adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes tersebut.

“Selepas 4 Ogos 2020, kluster-kluster baharu mula dilaporkan di negara ini termasuk Kluster Tawar. Pada 26 Ogos, nilai kebolehjangkitan atau Rt yang dilaporkan adalah 0.74,” katanya pada sidang media COVID-19, semalam di Putrajaya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha untuk mengurangkan Rt pada tahan kurang daripada 1 secara berterusan sekali gus membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Justeru, katanya, masyarakat diminta terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

Pada masa sama, Tan Sri. Dr Noor Hisham turut mengingatkan semua petugas kesihatan untuk mematuhi SOP dan memastikan pengurusan pesakit dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan kementerian.

Sehingga 27 Ogos jam 12 tengah hari semalam, terdapat lima kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,296 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 177 kes.

“Daripada lima kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di Filipina dan Mesir yang membabitkan warganegara. Kes import ini dilaporkan di Selangor,” – Berita Harian

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button