Covid19
Trending

COVID-19 : Malaysia arah Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah berkurung 14 hari berkuatkuasa Rabu

Perdana Menteri Malaysia, Tan Seri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan untuk rakyat Malaysia berkuat kuasa 18 Mac ini.

Antara ucapan beliau adalah,
“Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.”

“Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah
keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.”

“Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan
menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin”

“Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.”

Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.”

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani
pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta KECUALI yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Perdana Menteri juga menambah,
“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.”

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti
kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.”

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button