Covid19Semasa

Covid-19 : Kes tertinggi 1,884

Kluster Teratai sahaja 1,067 kaitan pekerja Top Glove

PUTRAJAYA : Jangkitan COVID-19 di Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi baharu  pada 1,884 kes  sejak pandemik itu menular ke negara ini.

Sebelum ini, jumlah kes harian tertinggi ialah 1,755 kes yang dicatatkan pada 6 Nov lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor merekodkan angka tertinggi pada 1,203 kes dengan sebahagian besarnya melibatkan Kluster Teratai iaitu 1,067 kes.

“(Perkembangan terbaharu) Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 56,659 kes dengan jumlah kes aktif  13,842 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,882 kes merupakan penularan dalam negara,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata  bilangan kes sembuh pula sebanyak 883 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 42,480 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut melaporkan dua kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat COVID-19 kini  337 kes.

Sementara itu, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 115 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 48 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata selain Selangor, negeri lain yang turut mencatat jumlah kes yang tinggi ialah Sabah yang merekodkan 289 kes diikuti Kuala Lumpur sebanyak 196 kes.

Selain itu, Perak mencatatkan 81 kes, Negeri Sembilan (41 kes), Kedah (36 kes), Johor (15 kes), Pulau Pinang (12 kes), Kelantan (9 kes) manakala Putrajaya dan Perlis masing-masing mencatat satu kes. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button