Covid19Semasa

Covid-19 : Kes sembuh 701, tertinggi hari ini!

Malaysia berjaya turunkan kadar nilai kebolehjangkitan

PUTRAJAYA : Walaupun berlaku peningkatan terhadap kes-kes baharu Covid-19 seperti dinyatakan hari ini, kes sembuh juga meningkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian perkembangan Covid-19 negara menyatakan sebanyak 701 kes jangkitan pandemik dunia ini sembuh.

Sekaligus mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi pernah dilaporkan dalam satu hari.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes sembuh dan telah didiscaj adalah sebanyak 13,262 kes daripada keseluruhan kes 20,498.

Sehubungan itu menurut Tan Sri Dr. Noor Hisham, Malaysia telah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang.

“Malaysia telah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September lalu kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang. Ini  bermakna usaha yang diambil kerajaan setakat ini telah dapat mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.”

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata jika dilihat kepada jumlah kes positif harian COVID-19 sejak beberapa hari lepas dan unjuran kes pada masa akan datang, pihaknya menjangkakan R0 kekal dalam lingkungan 1.5.

Beliau berkata oleh itu, dijangkakan kes harian COVID-19 masih meningkat namun bukanlah secara mendadak.

“Unjuran ini amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini.

“Segala usaha di Kesihatan Awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipatgandakan, kawalan pergerakan harus diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah,”

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata nilai R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara purata berapa ramai individu yang boleh dijangkiti kes positif atau hos virus tersebut.

Beliau berkata R0 boleh menurun jika langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya.

“Menurunkan nilai R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.”

Walaupun demikian Kementerian Kesihatan menzahirkan rasa duka cita atas 7 kes kematian dilaporkan melibatkan 5 WN dan 2 BWN.
Kes kematian 181 – 186 dilaporkan di Sabah manakala kes 187 dilaporkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Jumlah 7 kes kematian ini menjadikan seluruh kes maut akibat Covid-19 ialah 187 kes.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Tanpa letih, saban kali sidang media beliau Tan Sri Dr. Noor Hisham terus merayu agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi COVID-19 dengan duduk di rumah jika tiada urusan di luar dan mematuhi SOP ditetapkan sekiranya perlu keluar rumah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button