Covid19Semasa

COVID-19 : Biar angka berbicara!

FB KKM 4 juta pengikut, infografik bantu rakyat fahami kes

PUTRAJAYA  : [VIDEO] Sidang media harian Covid-19 pada Sabtu mengejutkan semua pihak sehingga menimbulkan tanda pagar #prayforSabah dan trending dalam semua media sosial negara.

Perkongsian Kementerian Kesihatan tidak pernah menghampakan apabila, semua maklumat dan infografik sentiasa diikuti orang ramai saban hari.

Grafik seperti 302 kes sembuh yang dilaporkan pada Sabtu (17/10) menjadikan jumlah kes sembuh adalah sebanyak 12,561 kes selain grafik terperinci bagi kes di seluruh negeri.

Disediakan juga grafik bagi lima kluster baharu yang dilaporkan, memudahkan butiran lanjut bagi setiap kluster terbabit.

Manakala rujukan infografik kes mengikut negeri dan kawasan zon merah dan kuning serta hijau secara jelas memberi pemahaman kepada orang ramai.

Antaranya Sabah yang terus mendominasi jumlah kes tertinggi iaitu 451 kes (51.9%) pada semalam.

Peningkatan itu dipandang serius oleh KKM, sehingga mendesak pelbagai usaha dijalankan seperti meningkatkan kapasiti, mobilisasi aset dan sumber manusia bagi memastikan Kesihatan Awam dan Perubatan di Sabah terus mampan.

Warna merah di kawasan ditandakan seperti di peta Lembah Kelang menunjukkan 20.3% kawasan menerima jangkitan daripada jumlah keseluruhan kes.

Selangor 159 kes, KL – 15 kes dan Putrajaya 2 kes semalam, diharap membantu penularan wabak Covid-19, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang mana, pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran KKM dan PDRM.

Dengan grafik yang ringkas tidak hairanlah Laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) kini mempunyai empat juta pengikut.

Pencapaian itu membolehkan laman Facebook KKM diiktiraf sebagai laman Facebook yang mempunyai paling ramai pengikut dalam kalangan laman Facebook rasmi kementerian-kementerian lain.

“Terima kasih kerana menyokong kami dan terus menjadikan kami sebagai Facebook kementerian nombor satu di Malaysia. Facebook rasmi KKM kini telah mencapai angka 4,000,000 pengikut.”

KKM menyatakan demikian dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu (17/10).

Sejak tercetusnya wabak Covid-19 di Malaysia awal tahun ini, laman Facebook KKM adalah antara saluran utama rakyat bagi mendapatkan info terkini mengenai perkembangan wabak itu.

Selain berkongsi angka-angka penting penularan Covid-19 laman FB KKM juga berkongsi pelbagai maklumat, nasihat, dan tindakan berkaitan wabak bagi rujukan rakyat Malaysia.

Siaran media secara langsung oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga dilakukan hampir setiap hari tanpa rehat sejak Februari lalu, sehinggakan penonton dapat menyatakan sokongan, doa dan harapan mereka kepada barisan hadapan negara.

Terima kasih KKM kerana memberi maklumat terbaik kepada rakyat, juga pihak media.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button