Covid19Semasa

Covid-19 : 673 ingkar PKPP semalam, aktiviti kelab malam paling banyak

Jumlah kes ingkar tertinggi sejak PKP dilancar

Aktiviti kelab malam merekodkan jumlah kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi.

Jumlah kompaun dikenakan terhadap 600 individu ingkar adalah yang tertinggi semalam, diikuti ingkar penjarakan sosial -127  dan gagal merekod butiran pelanggan, 14.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar perkembangan PKPP petang tadi.

“Ini menunjukkan bahawa keingkaran bertambah, mungkin rakyat telah merasakan bahawa PKPP sudah tidak ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebab itu ramai yang dikenakan kompaun”.

Selain itu, beliau berkata, seramai 98 individu direman dan tujuh lagi dijamin menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kerana ingkar PKPP semalam seramai 778 orang.

Bagi kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan 63 sekatan jalan raya dan menahan seorang warga asing kerana kesalahan imigresen.

Sementara itu, beliau yang  juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah yang dilaksanakan bermula 28 Ogos akan berkuat kuasa hingga 10 September ini.

Mengenai Tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas, Ismail Sabri berkata, tabung itu telah menerima sumbangan berjumlah RM44.517 juta daripada institusi diraja, syarikat swasta dan rakyat Malaysia.

“Daripada jumlah itu, RM31.5 juta telah dibelanjakan, merangkumi Program Bakul Makanan (RM25.23 juta), Bantuan Khas Pengurusan Kematian (RM595,000) dan Bantuan Khas Hilang Pendapatan (RM5.67 juta).

“Tarikh tutup permohonan Bantuan Khas Covid-19 telah dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan dengan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma),” katanya. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button