Covid19PendidikanSemasa

Covid-19 : 384 sekolah ditutup bermula hari ini

Periksa nama sekolah ditutup melalui KPM

PUTRAJAYA : [UPDATE] Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh merujuk  portal Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengetahui nama-nama sekolah yang ditutup di daerah Klang.

Senarai nama sekolah itu dimuat naik di laman sesawang www.moe.gov.my dan di platform media sosial kementerian.

Bermula hari ini 384 sekolah ditutup di empat daerah, Klang di Selangor, Tuaran, Papar dan Sandakan di Sabah  yang terletak di kawasan zon merah kawalan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua sekolah itu akan ditutup sehingga 23 Oktober hadapan.

Menurut kenyataan Kementerian sebanyak 142 sekolah ditutup di daerah itu dan 18 daripadanya adalah sekolah rendah, menengah swasta dan sekolah antarabangsa.

Kenyataan itu menyebut lampiran senarai sekolah terbabit di Klang menurut kenyataan itu juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Manakala bagi keseluruhan tiga daerah di Sabah jumlah sekolah yang terjejas ialah sebanyak 242 buah.

“Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.”

Terdahulu Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah-sekolah yang ditutup di Selangor dan Sabah di zon kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Arahan penutupan tersebut selaras dengan perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa 6 Oktober  untuk menutup sekolah yang disahkan berada dalam zon merah.

“Bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terbabit dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM,” katanya.

Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup.

Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama terbabit untuk pulang, bagaimanapun pelajar yang mahu tinggal di asrama sekolah atau kolej vokasional,sepanjang tempoh penutupan  sehingga diambil oleh ibu bapa akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

Keputusan Kementerian Pendidikan berkaitan penutupan sekolah dibuat berdasarkan penelitian mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya menghargai saranan dan sedar kegusaran serta kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

“Kami sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah seluruh negara.”
Beliau membuat kenyataan itu di laman Facebook rasminya malam tadi.

-www.moe.gov.my

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button