Covid19Semasa

Covid-19: 1,000 – kes sembuh tertinggi sejak pandemik melanda

Tiada kematian, tiada kluster baharu

PUTRAJAYA : Sejumlah 1,000 kes pulih COVID-19 dicatat pada Sabtu (31/10) menjadikan jumlah kes pulih paling tinggi sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes baharu yang dicatat juga turun kepada 659 kes dengan tiada kematian dan tanpa  pertambahan kluster baharu dilapor.

Dengan itu katanya jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 di negara ini adalah 21,248 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 10,051 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 659 kes baharu pada hari ini terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Bangladesh melibatkan bukan warganegara, dan bagi kes tempatan pula Sabah mencatat 529 kes manakala negeri dan wilayah persekutuan di Lembah Klang merekodkan 70 kes.

“Kementerian Kesihatan (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini. Justeru, jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster”

Mengulas lanjut dalam sidang media harian perkembangan situasi Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata Sabah dan Lembah Klang menyumbang sebanyak 599 kes atau 90.9 peratus daripada jumlah harian kes positif COVID-19 secara keseluruhan.

Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya.
Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 249 kes. — BERNAMA

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button