Covid19DuniaSemasa

#CoronaJihad Trending di India, Jadikan Tabligh Sasaran Kempen Anti Muslim

 

Di sebalik peningkatan kes positif COVID-19 di India, saluran televisyen milik sayap kanan negara berkenaan kini mendakwa acara Tabligh Jamaat sebagai “jenayah” dan para pesertanya adalah “suspek”. Hashtags seperti #CoronaJihad dan #TablighiVirus kini menjadi tular di media sosial.

Pada awal Mac lalu, majlis Tabligh Jamat telah diadakan di Nizamuddin New Delhi. Sekurang-kurangnya 7,600 orang India, dan 1,300 warga asing dari negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia menghadiri majlis tabligh tersebut dalam beberapa siri pertemuan dan ceramah sembahyang di lorong sempit yang sempit di ibu negara India yang padat penduduknya.

Setelah tamat, peserta mula meninggalkan Delhi sebelum beberapa daripadanya kemudian mengalami gejala Covid-19. Bagaimanapun, tiada tindakan lanjut diambil sehingga seorang lelaki berasal dari Jammu Kashmir berusia 65 tahun, meninggal minggu lalu. Sejak itu, Tamil Nadu, Telangana, Kerala, Bengal Barat, dan penduduk dari negeri-negeri lain mula melaporkan kes yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan peserta tabligh.

Kini, pihak berkuasa cuba menjejaki kesemua peserta dan kontak rapat mereka. Sekurang-kurangnya 400 kes positif telah dikesan daripada kluster tabligh ini di India, dengan sembilan kematian dilaporkan.

Oleh sebab kira-kira 20% kes jangkitan dikaitkan dengan jemaah berkenaan, perkara ini malangnya telah dijadikan isu yang menimbulkan sentimen anti-Islam di India. Ketegangan antara masyarakat beragama Hindu dan Muslim sekali lagi meningkat hanya beberapa minggu selepas rusuhan sektarian paling dahsyat dekad ini  yang meragut lebih daripada 50 nyawa di ibu negara India.

“Ia terasa sangat menakutkan dan akan menambah imej buruk kepada umat Islam. Seolah-olah seluruh tanggungjawab ini akan dikenakan kepada setiap muslim,” kata Nazia Erum, seorang penulis buku mengenai prejudis antara agama.

Dalam pada itu, ahli parlimen dari Parti BJP menulis di laman Twitternya untuk mengutuk perhimpunan tersebut manakala menteri Delhi membuat aduan polis terhadap penganjur acara tabligh tersebut. Mesej yang berbaurkan anti Islam tersebar ke seluruh India dengan tuduhan bahawa peserta tabligh sedang melaksanakan propaganda menyebarkan virus sebagai jihad mereka.

Hal ini menggambarkan BJP seperti batu api yang membuatkan rakyat India terus berfikir bahawa Muslim bertanggungjawab ke atas apa saja masalah, walaupun ianya berkaitan dengan penularan virus. Penyokong mereka pula dilihat sentiasa  menjadikan Muslim sebagai pihak antagonis dalam perkembangan semasa India.

Berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan, Perdana Menteri Narendra Modi telah mengenakan perintah berkurung ke seluruh negara bermula 25 Mac, untuk tempoh 21 hari. Walau bagaimanapun, orang ramai mengkritik penganjur dan peserta Tabligh kerana menganggap mereka tidak mematuhi perintah berkurung ini sehingga menyebabkan jangkitan terus merebak.

Sementara itu, Amerika Syarikat dalam satu kenyataan mengatakan bahawa penggunaan istilah ‘coronajihad’ itu satu perkara “malang”. Dalam satu taklimat yang disampaikan oleh Samuel D Brownback, Duta Besar di Pejabat Kebebasan Beragama Antarabangsa beliau berkata bahawa Amerika Syarikat telah mengenalpasti banyak kejadian di mana masyarakat minoriti dipersalahkan untuk isu penularan virus Covid-19.

Mengulas lanjut mengenai sentimen anti Muslim di India, beliau menggesa pihak berkuasa untuk memainkan peranan bagi memastikan orang ramai tidak terhasut dengan kempen berbaur kebencian yang berlaku.

Kerajaan benar-benar perlu menghentikannya dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka (Muslim) bukan lah sumber coronavirus. Ia bukan datang dari komuniti agama minoriti, dan mereka mesti pergi ke luar sana dengan mesej terbuka dan berkata tidak, ini bukan apa yang berlaku. Kita tahu dari mana virus ini datang, kita tahu ia adalah pandemik, seluruh dunia sedang menerima ancamannya dan ia bukan sesuatu dari agama minoriti. Tetapi malangnya, kita melihat aksi salah-menyalah bermula di tempat berbeza di seluruh dunia. Dan kami berharap ia akan dihentikan secara agresif oleh kerajaan yang memerintah.

– Samuel D Brownback

Ikhwan Solehin

We promise in proportion to our hopes, and we deliver in proportion to our fears. - Francois de la Rochefoucauld

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button