Covid19EkonomiSemasa

Buka sektor ekonomi strategik

Pastikan bekalan keperluan industri negara, dunia tidak terjejas

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan membenarkan pembukaan sektor ekonomi strategik seperti industri  aeroangkasa, minyak dan gas, pembuatan serta elektrikal dan elektronik (E&E) dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bagi memastikan bekalan keperluan industri di negara ini termasuk di seluruh dunia tidak terjejas.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembukaan sektor E&E sebagai contoh, ribuan  komponen yang dihasilkan sektor tersebut membolehkan operasi berterusan  infrastruktur kritikal di seluruh dunia seperti peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan, sistem bekalan air dan grid tenaga serta rangkaian pengangkutan dan telekomunikasi.

Katanya, komponen E&E yang dihasilkan di Malaysia juga memudahkan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baharu.

Menurut kementerian itu, Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E  dan menyumbang 40 peratus atau RM386 bilion kepada eksport tahunan negara dan kira kira tujuh peratus perdagangan semikonduktor global.

                 

“Sebagai contoh, Malaysia memainkan  peranan kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor yang kemudiannya akan dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut.  Tambahan pula, pada tahun lalu, sekitar RM15 bilion pelaburan baharu di sektor E&E telah diluluskan yang akan mewujudkan 20,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” – kenyataan Kementerian Kewangan

Kementerian Kewangan berkata,  justeru, sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek, bukan sahaja menjejaskan bekalan keperluan industri di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia, terutamanya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang mencabar.

Katanya, ini juga akan memberi  kesan jangka panjang yang mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia dan menjejaskan daya saing negara dalam rantaian nilai global.

“Kita sudah pun  mengalaminya semasa PKP 1.0 apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan  bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China.

“Untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19, kerajaan melalui pemantauan dan  penguatkuasaan yang lebih rapi akan memastikan kilang E&E Malaysia mematuhi  SOP tegas, dengan had kehadiran fizikal di tempat kerja sehingga 60 peratus,” – kenyataan Kementerian Kewangan katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, secara amnya, sektor perkhidmatan yang menyumbang 57.3 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021, tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, walaupun kerajaan secara umumnya  membenarkan pelbagai sektor beroperasi, tetapi banyak juga yang ditutup,  sebagai contoh, hanya 11 kategori di sektor peruncitan, seperti pasar raya, sementara lebih 20 kategori lain termasuk kedai  elektrik, barang kemas, pendandan rambut, bilik pameran kereta kini tidak dibenarkan beroperasi.

Dalam sektor pembinaan pula, jelasnya, hanya pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal sahaja dibenarkan beroperasi sejajar dengan fokus kerajaan mengurangkan jumlah serta pergerakan  orang ramai di tempat-tempat awam.

Bagaimanapun, kata kementerian itu, pembukaan berterusan rantaian bekalan produk sektor  pembuatan adalah bagi memastikan pengeluaran barangan dan perkhidmatan berterusan untuk industri-industri penting seperti makanan, penjagaan  kesihatan atau peralatan perubatan, farmaseutikal, sabun dan bahan pencuci  (terutamanya dalam konteks menjaga kebersihan semasa wabak ini) dan  telekomunikasi.

Katanya, rantaian bekalan adalah ekosistem kompleks terdiri daripada sumber  manusia, proses, operasi, teknologi dan maklumat yang menghubungkan pengeluar  dan pembeli melalui rangkaian entiti dan sumber yang berkaitan, perlu bergerak seiring untuk  memastikan kecekapan.

“Pendekatan menyeluruh kita sebagai sebuah negara adalah sangat penting dalam usaha mengatasi wabak ini. Oleh itu, semua  rakyat dan perniagaan diminta memainkan peranan dan mematuhi SOP  bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan,” katanya.

Related Articles

Back to top button