Semasa

Buang sampul bungkusan/surat ada maklumat peribadi secara selamat

Elak digunakan pihak tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati apabila membuang sampul surat atau bungkusan mengandungi maklumat peribadi pelanggan yang membeli dan menerima barangan.

Malah, pelanggan atau penerima barangan juga disaran membuang bungkusan yang mempunyai butiran peribadi dengan cara selamat bagi mengelakkan maklumat berkenaan digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata mana-mana pihak membuat pembelian barangan secara dalam talian untuk dihantar ke rumah juga disarankan untuk lebih berhati-hati semasa menerima barangan berkenaan.

“Sebagai contoh, sila pesan kepada ahli keluarga atau wakil penerima yang berada di rumah untuk tidak sewenang-wenangnya membuat pembayaran ke atas barangan dihantar sebelum mendapat pengesahan daripada ahli keluarga membuat pesanan.

Zainuddin berkata, kaedah pembelian secara dalam talian sememangnya menjadi trend masyarakat masa kini kerana menjimatkan masa dan harga ditawarkan pula lebih murah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu video tular mengenai cara pihak tidak bertanggungjawab melakukan penipuan dengan menggunakan maklumat peribadi mangsa terutama nombor telefon bimbit yang diperoleh melalui bungkusan pembelian barangan secara dalam talian.

Dalam video berkenaan, penjenayah memperoleh maklumat peribadi mangsa seperti nama, nombor telefon dan alamat rumah daripada bungkusan kiriman barangan dibuang mangsa ke dalam tong sampah di tempat awam.

Penjenayah akan mula menghubungi dan mengganggu mangsa dengan menggunakan nombor telefon berlainan bertujuan untuk mendapatkan wang termasuk pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran.

Penjenayah memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang berada di rumah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu disebabkan barang yang dihantar masih belum dibayar. -BH

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button