EkonomiSemasa

BPR Tambahan mula diagihkan

Pembayaran dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima

KUALA LUMPUR : Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tambahan melibatkan peruntukkan RM2.1 bilion kepada 8.4 juta penerima akan dibayar secara berperingkat bermula semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penerima bantuan tambahan itu merangkumi 3.6 juta isi rumah, sejuta warga emas (bujang atau tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.

Katanya, pembayaran itu akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bermula 30 Jun hingga 2 Julai depan.

“Kategori Isi Rumah, Warga Emas dan Individu Bujang bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing secara beransur mulai hari ini hingga 2 Julai.” – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Menteri Kewangan

“Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, bayaran akan dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Pihak BSN akan mengeluarkan SOP dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengambil kira pembayaran Fasa 1, Fasa 2 dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan kepada hampir 8.4 juta penerima sehingga kini adalah sebanyak RM 6.78 bilion.

“Jangkaan pembayaran Fasa 3 pula pada September 2021 dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.

“Secara keseluruhannya, peruntukkan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40,” katanya.

Oleh : Wartawan UmmahToday – Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) / AJ

Related Articles

Back to top button