Covid19Semasa

Boleh balik kampung ke tidak Aidilfitri tahun ni?

Kerajaan masih pertimbangkan

PETALING JAYA 31 Mac – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan masyarakat umat Islam merentas negeri untuk pulang ke halaman sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tak lama lagi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan akan dibuat bergantung kepada Kementerian Kesihatan (KKM) jika kes jangkitan COVID-19 makin menurun.

“Setiap keputusan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada kajian penilaian risiko oleh KKM, sidang khas itu nanti hanya boleh putuskan berdasarkan cadangan tersebut mengenai ren­tas negeri pada Aidilfitri nanti. Saya tahu ramai yang berdoa setiap malam selepas solat untuk balik kampung. Jadi, kita akan melihat kajian yang dilakukan oleh KKM sebelum memutuskan sebarang keputusan,” – Menteri Kanan Keselamatan / Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan sebanyak enam buah negeri dan wilayah dikekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sementara 10 negeri kekal Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengekalan status PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa bermula esok sehingga 14 April 2021 kecuali Sarawak yang bermula semalam sehingga 12 April 2021.

Selain daripada itu, beliau turut memaklumkan bahawa keputusan untuk membuka sempadan negeri perlu dipertimbangkan sebaiknya kerana sebelum ini aktiviti merentas negeri menjadi salah satu punca kes kembali mencanak.

“Tahun lepas atas nasihat KKM, kita tak balik raya. Saya juga orang kampung, mesti nak balik kampung, ia dah jadi rutin, bila tak dapat balik kampung, saya juga kecewa. Tetapi dengan kes yang semakin menurun dan R-Naught yang juga menurun sehingga 0.88 setakat ini, KKM akan menilai, jadi kita doakan raya tahun ini boleh balik kampung,” – Menteri Kanan Keselamatan / Datuk Seri Ismail Sabri

Aidilfitri tahun ini dijangka disambut pada 13 Mei depan.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button