Semasa

Penjara 2 tahun, denda RM2,000 jika tak puasa di Kelantan

KOTA BHARU : Hukuman lebih berat menanti bagi umat Islam di Kelantan yang ditangkap kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan.

Mereka boleh berdepan hukuman mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Dr Hasnan Ramli berkata hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya diperuntukkan dalam Seksyen 10 enakmen tersebut.

“Sebelum ini, hukuman bagi kesalahan tidak berpuasa hanya denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun, tetapi kali ini hukuman lebih berat menanti pesalah selepas enakmen itu baharu diluluskan November lepas.

“Sepanjang Ramadan ini juga, 60 penguat kuasa JAHEAIK akan menjalankan pemantauan di kira-kira 50 lokasi panas, dengan dibantu 700 sukarelawan Skuad Amru,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hasnan berkata restoran milik orang bukan Islam, kawasan tangga di pasar raya dan kawasan tersembunyi merupakan antara lokasi panas yang sering dijadikan tempat individu tidak berpuasa.

“Tindakan tegas tetap akan diambil ke atas orang yang tidak menghormati Ramadan khususnya yang mengulangi kesalahan dan ditangkap buat kali kedua walaupun kita lebih kepada pendekatan menasihati.

“Mereka yang membekal dan menjual makanan kepada individu tidak berpuasa juga boleh dikenakan tindakan mengikut enakmen tersebut,” tambahnya,

– BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button