KerohanianSemasa

Bergimnasium di masjid?

Pusat ibadah pertama miliki kemudahan `gym' di negara ini!

PASIR PUTEH :  Masjid Mukim Sri Aman Pasir Puteh melakar sejarah baharu apabila menjadi pusat ibadah pertama yang memiliki kemudahan gimnasium di negara ini.

Pengerusinya, Ab Razak Mat Saad berkata, kemudahan itu diwujudkan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ahli kariah sekali gus meningkatkan tahap kecergasan mereka untuk beribadah.

Masjid Sri Aman, Pasir Putih

    “Bila tubuh sihat dan cergas, dapatlah kita beribadah kepada ALLAH sebaik mungkin. Ini merupakan salah satu usaha yang kami lakukan dalam mempelbagaikan peranan masjid supaya tidak tertumpu kepada ibadah semata-mata,”

Gimnasium Masjid Mukim Sri Aman itu dilancarkan hari ini dan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman mengikuti kelas senaman ringkas yang dikelolakan oleh jurulatih kecerdasan.

Menurut Ab Razak, kemudahan itu diharap mampu memberikan manfaat kepada kira-kira 1,000 ahli kariah dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan bagi memastikan harapan itu mencapai sasaran, pihak masjid telah menyediakan jurulatih khas.

Peralatan gimnasium di Masjid Sri Aman, Pasir Putih

“Budaya (hidup sihat) ini turut dipraktikkan kepada kalangan kaum muslimat bagi memastikan mereka terlibat sama tetapi bagi muslimat, aktiviti dilakukan secara berasingan di sebuah dewan khas.

“Selain itu, kita yakin dan percaya kemudahan ini mampu menarik orang ramai untuk mengimarahkan masjid terutama golongan muda,” katanya.

“Setiap kali azan berkumandang perkhidmatan gimnasium akan dihentikan sementara waktu untuk solat berjemaah,” katanya.

Ab Razak berkata, kos untuk menyediakan gimnasium itu mencecah RM17,000 dan menggunakan duitnya sendiri sebagai permulaan.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk melengkapkan keperluan yang berkaitan.

Menurutnya, peralatan itu boleh digunakan oleh ahli kariah secara percuma dan ia akan dikenakan sedikit bayaran pada masa hadapan untuk kos penyelenggaraan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button