Covid19Semasa

Bayaran sewa kantin dan premis bawah KPM diberi pengecualian

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis atau ruang yang terjejas bagi tempoh enam bulan bermula bulan ini.

KPM dalam satu kenyataan, berkata premis atau ruang yang diberikan pengecualian merangkumi kedai buku, koperasi, kedai dobi, dan mesin layan diri yang terjejas berikutan penutupan sekolah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk tempoh satu tahun apabila tamat tempoh kontrak asal.

“Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.,” katanya hari ini.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) pula, pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak.

“Oleh itu, tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja KBK.

“KPM yakin inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” – Kementerian Pendidikan Malaysia.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar / AJ

Related Articles

Back to top button