Semasa

Bantuan BPR Fasa 3 mula dikredit bermula Selasa

KUALA LUMPUR: Bermula Selasa ini, pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR mula dikreditkan ke dalam akaun penerima.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pembayaran secara berperingkat itu dijangka selesai pada 30 September ini.

Tambah beliau, pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan, membabitkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

“Bagi Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh hingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR pula hingga RM2,300, termasuk bayaran BPR tambahan bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai hingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah serta bilangan anak.

“Pembayaran Fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diperoleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antara lain, beliau berkata, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberi kepada penerima yang layak.

“Pembayaran bantuan itu dijadual disalurkan pada Oktober hingga Disember depan,” katanya.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Keluarga Malaysia boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi BPR, iaitu https://bpr.hasil.gov.my, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber asal Berita Harian
Disunting oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button