DomestikSemasa

Seramai 10,000 jemaah ditangguh untuk tunai umrah

KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 jemaah umrah dijangka terkesan dengan keputusan kerajaan menangguhkan pelepasan ibadah tersebut buat sementara waktu berkuatkuasa 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, daripada jumlah itu kira-kira 5,000 membabitkan jemaah yang dijadualkan bertolak ke Arab Saudi pada bulan ini, manakala selebihnya pada Februari dan Mac.

Beliau menambah, pihaknya mengambil maklum mengenai kepentingan dalam mengawal jangkitan COVID-19, namun, nasib agensi yang mengendalikan umrah juga perlu diambil kira, begitu juga dengan bakal jemaah.

Justeru itu, PAPUH dan agensi pelancongan yang mengendalikan umrah meminta kerajaan menarik semula penangguhan perjalanan umrah yang diumumkan semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika mengumumkan keputusan itu berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan semula nanti.

“Tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini (semalam),” katanya.

Berikutan pengumuman itu, PAPUH, Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memohon supaya penangguhan berkenaan ditarik balik.Ketiga-tiga persatuan terbabit mendakwa, tindakan kerajaan dilihat terlalu tergesa-gesa dan memberi kesan besar kepada jemaah umrah serta sektor pelancongan yang terbabit.

Penangguhan turut menyebabkan kerugian yang besar dan kos pembatalan yang tinggi kepada jemaah rakyat di negara ini.

Razali berkata, kerajaan diminta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan menetapkan syarat kuarantin di stesen kuarantin atau hotel terpilih.

“Kos untuk kuarantin boleh dikenakan kepada jemaah.

“Langkah itu lebih praktikal berbanding penangguhan sementara mengerjakan umrah. Jemaah dapat mengerjakan umrah, agensi pelancongan tidak menanggung kerugian besar dan penularan wabak dapat dibendung,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button