Semasa

Bacaan doa akhir, awal tahun iringi sambutan Maal Hijrah setiap negeri

KUALA LUMPUR: Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M di beberapa negeri pada Selasa malam dimulakan dengan bacaan doa akhir dan awal tahun.

Selain solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bagi menyambut tahun baharu Islam itu, majlis dimeriahkan dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah peringkat negeri.

Di ibu negara, majlis sambutan di Masjid Negara di sini dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama ratusan umat Islam.

Dr Mohd Na’im ketika ditemui BERNAMA berharap sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia MADANI, dapat memberikan kekuatan kepada rakyat Malaysia untuk membina kesatuan yang kukuh dan saling bertoleransi dalam membina sebuah negara MADANI.

Di SELANGOR, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1445H/2023M di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam serta turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada majlis itu, baginda turut mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Selangor kepada Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, 72, yang telah berkhidmat sebagai Mufti Selangor selama 23 tahun.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Tokoh Maal Hijrah Selangor

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di Seremban yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tuanku Mukhriz turut berkenan menyertai bacaan doa akhir tahun yang dipimpin Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Amran Awaludin sebelum baginda menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Di PULAU PINANG, majlis sambutan Maal Hijrah diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di Perda yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Pada majlis itu, pakar falak yang juga ahli astronomi Islam Profesor Dr Mohammad Ilyas Shabudin, 73, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Pulau Pinang.

Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob bersama lebih 1,000 jemaah menyambut Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Kota Bharu.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1445H peringkat negeri Kelantan kepada Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Profesor Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Menteri Besar Kelantan menyampaikan Anugerah Tokoh Hijratul Rasul 1445H peringkat negeri Kelantan, Profesor Emeritus Dr Ab Aziz Mohd Zin

Di SARAWAK, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir pada majlis bacaan Doa Akhir Tahun 1444H dan Awal Tahun 1445H di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya, Kuching.

Pada majlis itu, tazkirah Maal Hijrah bertajuk Sarawak Maju Makmur turut disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Iszam Padil.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button