PendidikanSemasa

Artifak lebih 1,000 tahun ditemui di Sungai Pahang

Seramik Seladon dari China, syiling Kesultanan Pahang & Melaka

Sejumlah artifak sebahagiannya dipercayai berusia lebih 1,000 tahun dijumpai di kawasan aktiviti pengorekan pasir di Sungai Pahang, di Pekan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop berkata artifak yang ditemukan itu kebanyakannya dipercayai dari China iaitu serpihan seramik celadon Dinasti Song, serpihan seramik porselin Dinasti Ming dan duit syiling Dinasti Tang, Dinasti Song serta Dinasti Ming.

Pic: https://www.facebook.com/Jabatanwarisannegara/photos/pcb.3199981270083284/3199979733416771/?type=3&theater

Katanya, turut ditemui ialah duit syiling Kesultanan Pahang dan Kesultanan Melaka.

“Penemuan ini berlaku apabila beberapa serpihan artifak ditemui di dalam penyedut pasir sebelum penyelidikan bawah air yang dikawal selia JWN dijalankan selama tiga hari bagi memberikan perincian jelas ke atas hasil dapatan kajian ini.

Sebilangan besar pecahan seramik kelihatan mempunyai retakan baharu, manakala sebilangan lagi kelihatan telah lama patah,” katanya dalam sidang media semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Projek Penyelidikan Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Ruzairy Arbi.

Mesran berkata JWN akan membuat kajian lanjut mengenai pentarikhan dan pemilik asal artifak itu supaya ia dapat memberi gambaran baharu mengenai aktiviti perkapalan serta perdagangan di kawasan berkenaan.

“Kita berharap dengan penemuan ini kita dapat merungkai sejarah dan salasilah kebudayaan di Pahang khususnya di Pekan,” katanya.

Beliau juga berkata ketika ini JWN akan memberi fokus bagi mencari seberapa banyak artifak dengan harapan dapat menjumpai artifak yang lebih signifikan, contohnya seramik yang masih tidak pecah.

Katanya, JWN juga memohon orang ramai agar melaporkan sebarang jumpaan bersejarah termasuk di kawasan berkenaan, selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sementara itu, Dionysius berkata sebahagian artifak terbabit ditemui selepas selaman sedalam 15 meter dilakukan di sungai berkenaan.

“Pasukan penyelam menemuinya berhampiran struktur yang saya percaya kapal diperbuat daripada kayu namun siasatan lanjut masih perlu dilakukan,” katanya.

-BERNAMA

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button