KerohanianPendidikanSemasa

Apakah hukum mandi dengan air zamzam?

Setiap jemaah yang tiba ke Masjidil Haram, Mekah bagi melaksanakan rukun Islam ke-5 iaitu menunaikan ibadah haji atau umrah sudah pasti tidak akan melepaskan peluang dalam menikmati air zamzam yang terdapat di sana.

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Mekah.

Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Mekah yang tandus pada ketika itu.

Namun, timbul satu persoalan bahawa adakah air yang dianggap paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia ini boleh digunakan untuk mandi?

Menurut penjelasan dari portal Maktabah Al-Bakri yang memetik Imam al-Nawawi, majoriti ulama adalah sepertimana pendapat mazhab Syafi‘i iaitu tidak makruh berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam.

Foto: Az-Zain Mart

Dalam pada itu, terdapat satu riwayat daripada Imam Ahmad yang menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Mereka berhujahkan pendapat al-‘Abbas R.A ketika berada di sisi telaga zamzam yang mengatakan :

لَا أُحِلُّهُ لِمُغْتَسِلٍ وَهُوَ لِشَارِبٍ حِلٌّ وَبَلٌّ

Maksudnya : “Aku tidak benarkan air zamzam (digunakan) bagi orang mandi, tetapi ia harus bagi orang minum”

Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menyebutkan bahawa pendapat al-Abbas R.A itu dapat ditakwilkan bahawa ia diucapkan ketika waktu sedikitnya air zamzam disebabkan oleh ramai orang yang meminumnya.

Manakala Ibnu Qudamah pula mengatakan bahawa pendapat al-‘Abbas R.A itu tidak menunjukkan (difahami) secara jelas bahawa ia haram, akan tetapi ia difahami bahawa menggunakan selain air zamzam (untuk tujuan mandi) adalah lebih utama, dan kemulian air zamzam tidak memestikan bahawa hukumnya adalah makruh untuk digunakan.

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, maka hukumnya adalah harus menggunakan air zamzam untuk mandi dan berwuduk serta membersihkan diri daripada najis kerana ia merupakan air yang suci lagi menyucikan sepertimana air mutlak yang lain.

Walau bagaimanapun, jika tiada kesukaran atau terdapatnya air lain selain daripada air zamzam yang boleh digunakan bagi tujuan membersihkan diri daripada najis, maka sebaiknya gunakanlah terlebih dahulu air tersebut bagi meraikan khilaf ulama yang memakruhkannya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button