Hiburan

Anugerah Pencinta Nasyid IKIM

Cipta lagu mengandungi tujuh nilai penting dalam Islam

KUALA LUMPUR: Tampil dengan mekanisme baharu bagi memperkayakan karya nasyid, stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan Anugerah Pencinta Nasyid IKIM (APNI), Disember depan, disertai tujuh kumpulan yang mencipta lagu berdasarkan tujuh nilai penting dalam Islam.

Membawa kelainan, tujuh kumpulan terbabit yang masing-masing diwakili penerbit, komposer dan penyanyi, menyertai bengkel dua hari bagi mencipta karya yang berteraskan ilmu, hikmah, adab, amanah, adil, taqwa dan benar, baru-baru ini.

Andai Anugerah Nasyid IKIM mengiktiraf karya sedia ada, APNI bakal menyaksikan tujuh kumpulan berentap merebut anugerah lagu terbaik berteraskan tujuh nilai penting dalam Islam pada malam kemuncak.

Komposer yang bertindak sebagai mentor pada bengkel itu, Farihin Abdul Fatah, berkata tujuh kumpulan terbabit dipilih secara rawak.

“Peserta dipilih dalam kalangan pemuzik Islam dan bukan Islam. Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memilih ahli kumpulan masing-masing.

“Setiap kumpulan perlu menyiapkan sebuah lagu sepanjang bengkel dua hari. Lagu yang mereka cipta perlu menerapkan tujuh nilai penting dalam Islam yang menjadi teras stesen radio IKIM.

“Semua lagu yang dihasilkan bakal dipersembahkan pada malam APNI dan dinilai juri bertauliah. Insya-Allah, lagu dihasilkan akan dimuatkan dalam sebuah album,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Azizan Baharuddin, berkata APNI dapat memperkenalkan insan belakang tabir yang memainkan peranan penting dalam penghasilan lagu, tidak seperti sebelum ini, apabila peminat lebih mengenali penyanyi.

Datuk Dr. Azizan berkata, proses menyiapkan lagu di studio rakaman akan dipaparkan di laman web radio IKIM supaya masyarakat tahu proses yang perlu dilalui kerana elemen itu jarang ditonjolkan.

“Ini adalah salah satu cara IKIM meneruskan semangat dakwah. Muzik nasyid adalah bidang khas dan istimewa.

“Muzik sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada peperangan dan kesihatan. Jadi, kita cuba membawa irama muzik nasyid ke peringkat lebih tinggi.

“Perbezaan APNI dan Anugerah Nasyid IKIM adalah kali ini, kita menentukan tema lagu berdasarkan tujuh nilai yang dipraktis IKIM.

“Apabila peserta diberi tema, bermakna mereka lebih fokus dalam menghasilkan lagu yang lebih tajam. Kita mahu peserta meneroka dan jelas mengenai apa itu muzik nasyid,” katanya.

Datuk Azizan berkata, IKIM tidak memonopoli lagu yang dihasilkan peserta sebaliknya setiap karya menjadi milik mereka.

“Objektif kami adalah untuk mendapatkan lagu yang segar melalui tema yang diberi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, APNI dianjur berpandukan prosedur operasi standard (OSP) ditetapkan kerajaan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 termasuk kawalan jumlah penonton pada malam kemuncak

– Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button