KemanusiaanKerohanianSemasa

Upah wang kepada penyembelih haiwan korban dibenarkan, tetapi ada syaratnya

Seperti yang sudah sedia maklum, kita tidak boleh menjadikan daging korban sebagai upah kepada petugas yang menyembelih haiwan korban.

Namun, timbul persoalan bagaimana pula jika penganjur memberikan sagu hati atau upah dalam bentuk wang kepada penyembelih ini?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hukum memberi upah atau saguhati dalam bentuk wang kepada penyembelih adalah diharuskan dengan syarat wang tersebut dibayar daripada duit penganjur sendiri.

“Seorang penyembelih haiwan korban dilarang untuk mengambil upah daripada bahagian haiwan korban. Dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali berkata:

‌أَمَرَنِي ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌أَنْ ‌أَقُومَ ‌عَلَى ‌بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا، قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.”

Riwayat Muslim (1317)

Oleh itu, hadis di atas menjadi dalil kepada haram untuk seorang penyembelih mengambil upah daripada haiwan korban tersebut.

Namun begitu, upah atau saguhati  boleh diberikan kepada penyembelih dengan syarat mesti daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban sendiri. (Ma’alim al-Sunan 158/2; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 65/9)

Menurutnya lagi, pihak masjid atau penganjur juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat.

“Kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut.

“Begitu juga kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti kos pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan,” katanya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button