Semasa

Gangguan air lagi! Lebih 300,000 penduduk terjejas

Gangguan air tidak berjadual bermula pagi ini

KUALA LUMPUR : Gangguan bekalan di Selangor sekali lagi terjadi bermula pagi tadi.

Gangguan kali ini membabitkan seramai 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku ekoran operasi di dua Loji Rawatan Air (LRA) dihentikan akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, dua LRA terbabit ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang telah dihenti tugas sepenuhnya.

“Henti tugas loji-loji ini akan menyebabkan 274 kawasan terjejas dan Air Selangor telah pun mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas ekoran insiden ini,” menurutnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sebanyak 274 kawasan didapati terjejas akibat insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih, Selangor yang dikesan sejak semalam.

Pagi ini sehingga jam 7:30 pagi ini, Elina berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran insiden pencemaran berkenaan.

Katanya, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Semenyih dan berada pada tahap 5 TON di Muka Sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 TON di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih.

“Dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan dan pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini.

“Air Selangor menyarankan pengguna mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Elina menambah, pihaknya akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

“Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” jelasnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button